SPECIAL ADS

29 April 2015

Siapa betul? SKMM atau Kastam?


Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengeluarkan kenyataan berbeza hari ini berhubung harga baru untuk kad tambah nilai telefon.

Menurut Pengarah JKDM, Datuk Seri Khazali Ahmad, harga berkenaan akan kembali kepada harga asal sebelum pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) mulai Jumaat.

Khazali berkata, beliau sendiri sudah mengarahkan kesemua empat syarikat telekomunikasi untuk mengekalkan harga asal berkuatkuasa 1 Mei dalam satu surat semalam (28 April).

"Apabila arahan diberikan, syarikat telekomunikasi perlu akur kepada arahan Ketua Pengarah Kastam. Tidak ada alasan sama ada kad prabayar itu stok baharu atau stok lama," katanya seperti dipetik dalam laporan Bernama.

Menurutnya, jika isian semula itu bernilai RM10 maka pengguna akan membayar RM10 mulai 1 Mei.

SKMM pula dalam kenyataannya menyebut, kad isian semula akan terus dijual dengan GST.

Menurut Pengerusi SKMM, Datuk Seri Halim Shafie, jika isian semula itu bernilai RM10, ia akan dijual dengan harga RM10.60

Pengguna juga boleh beli dengan harga RM10 bagi mendapatkan isian semula bernilai RM9.43, katanya.

Halim berkata langkah untuk meminda harga agar kembali ke paras sebelum GST "agak mustahil".

Beliau antara lainnya memberi alasan, pihak penjual akan mengalami kerumitan kerana perlu membuat konfigurasi semula ke atas sistem.

"Bukan hanya di pihak pembekal perkhidmatan bahkan juga bagi ejen pihak ketiga seperti institusi kewangan, pembekal pembayaran elektroini, pasar raya, stesen minyak dan ejen jualan lain yang kesemuanya berjumlah lebih kurang 30,000.

“Kos untuk melaksanakannya juga besar, baik bagi pembekal perkhidmatan mahupun ejen pihak ketiga.

“Tambahan lagi, stok baharu kad prabayar perlu dikeluarkan dan diagihkan ke seluruh negara,” katanya lagi dalam kenyataan.

Tinjauan Malaysiakini awal bulan ini mendapati, ada di kalangan peruncit menghentikan jualan selepas pelaksanaan GST kerana keliru dan bimbang akan mengalami kerugian. MK

Tiada ulasan: