Bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad memberi pukulan lagi kepada Najib Razak. Kali ini beliau tidak saja meneruskan kritikan dan persoalan untuk segera dijawab malah sambil itu menjawab pelbagai serangan yang mula dilemparkan terhadapnya.
Antara yang dijawabnya ialah mengenai beberapa skandal yang melibatkan kerugian wang di era pemerintahannya.
Katanya, memang ada berlaku kehilangan wang semasa beliau menjadi Perdana Menteri, tetapi semuanya diketahui ke mana perginya.
Mengenai tindakannya menyerang Najib yang dianggap memberi kelebihan kepada pembangkang, Tun Mahathir bertanya, bagaimana pula dengan Najib sendiri yang akur dengan kehendak pembangkang seperti menghapuskan ISA, mengabaikan DEB dan pernah berhasrat menghapuskan Akta Hasutan?
Selain itu, Tun Mahathir juga membangkitkan lagi isu berkenaan 1MDB yang dikaitkan dengan Jho Low dan anak tiri Najib, Riza Aziz serta menangkis persamaan antara Daim yang dilantiknya sebagai Menteri dengan Jho Low yang diberi kepercayaan mengendalikan berbilion wang 1MDB.
Beliau turut mengulangi pendiriannya mengenai Sirul yang tidak sepatutnya dijatuhkan hukuman mati sedangkan anggota polis itu hanyalah pegawai rendah yang patuh pada arahan.
Tun Mahathir tidak terkecuali menunjukkan "kejantanannya" dengan menyatakan sedia disiasat lagi berkenaan kehilangan wang di zamannya.
"Apabila saya letak jawatan, satu usaha dibuat untuk mendapatkan bukti saya melesapkan duit kerajaan. Kalau hendak buat siasatan lagi, saya tiada halangan", tambah Tun Mahathir dalam tulisan di blognya semalam.
Pelbagai kritikan lain yang dilemparkan oleh penyokong Najib terhadapnya juga dijawabnya dalam kali ini. Antaranya daripada Salleh Tun Said Keruak ( pemimpin UMNO Sabah), Jamal Mohd Yunos ( pemimpin UMNO Selangor) serta daripada seorang pembaca sebuah portal berita yang dikenali Izack Chin.
Menurut Tun Mahathir lagi, beliau masih ahli UMNO dan kritikannya hanya ditujukan kepada pemimpin, bukan kepada parti. Kedudukan Najib yang lebih lemah berbanding Pak Lah dan dikaitkan dengan banyak syak wasangka juga diulangi lagi.
Beberapa perkara lain lagi disentuh oleh Tun Mahathir dalam tulisannya ini, tetapi tindakannya yang pantas menjawab beberapa kritikan terhadapnya seperti cuba "mengajar" Najib bagaimana seharusnya seseorang pemimpin itu berperanan.
Salah satu kelebihan sebagai pemimpin yang diperlihatkan oleh Mahathir ialah seseorang itu mesti mampu menjawab kritikan dan menjelaskan apa juga perkara yang diragui oleh orangramai.
Selain menuntut Najib menjawab pelbagai kritikan yang dibangkitkannya sebelum ini, Tun Mahathir dalam masa yang sama menunjukkan beliau seorang yang tidak pernah lari daripada kritikan.
Daripada dulu sehinggalah sekarang, itulah watak Tun Mahathir. Beberapa hari sebelum ini, KJ dan Shahrir Samad adalah antara pemimpin UMNO yang tegas menyatakan agar Najib menjawab sendiri kritkan Tun Mahathir.
Hari ini, dalam usianya melebihi 90 tahun dan sudah bersara, Tun Mahathir seperti mahu memperlihatkan kepada Najib agar turut pantas menjawab segala kritikan dan tanda tanya masyarakat sebagaimana yang dilakukannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan