Biro Pemantauan Integriti Perkasa menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi merungkai segala misteri berkaitan syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Setiausahanya, Azrul Akmal Saharudin berkata, biro itu menghantar surat cadangan penubuhan RCI itu kepada Najib pagi tadi selaras dengan apa yang dibangkitkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.
"Biro Pemantauan dan Integriti ingin menegaskan, cadangan daripada Dr Mahathir seiring dengan keputusan Diskusi Khas berkenaan 1MDB yang dianjurkan Perkasa pada 2 April.
"Sebuah RCI yang dianggotai panel neutral, serta mempunyai kuasa menjalankan penyiasatan bermandat tanpa kompromi, perlu dibentuk secepat mungkin.
"Ia jalan terbaik menyelesaikan kekusutan yang membelenggu kepimpinan Najib dan merungkai segala misteri 1MDB seperti mana dipersoalkan oleh Dr Mahathir baru-baru ini," katanya dalam satu kenyataan.
Akmal berkata panel yang telus dan berwibawa untuk menganggotai suruhanjaya itu wajar dipengerusi bekas ketua hakim negara.
Antaranya seperti Tun Abdul Hamid Omar atau Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, bekas peguam negara seperti Tan Sri Abu Talib Othman, atau mana-mana individu yang mempunyai integriti tinggi dan berwibawa.
"Perkara ini perlu dipercepatkan kerana rakyat mahu mengetahui kebenaran mengenai 1MDB.
"Ini kerana, jika benar kerunsingan seperti mana diutarakan Dr Mahathir yang wang RM42 bilion yang dipinjam oleh 1MDB untuk dilaburkan itu sudah ‘hilang’, maka ini suatu yang amat-amat merugikan negara.
"Tidak ada salahnya RCI ini dibentuk kerana sebelum ini pun, perdana menteri berani dan terbuka agar 1MDB ini disiasat Ketua Audit Negara dan polis, untuk mengenal pasti jikalau ada sebarang unsur penyelewengan," katanya.
Dr Mahathir menerusi video yang dimuat naik blogger pada Ahad berkata, kerajaan perlu menubuhkan sebuah "suruhanjaya yang benar-benar bebas" menyiasat 1MDB, syarikat milik Kementerian Kewangan, yang dibebani hutang.
Katanya, pejabat Ketua Audit Negara mungkin tidak akan melakukan penyiasatan yang menyeluruh atau satu kajian forensik, dan mempersoalkan bila siasatan itu akan selesai.
Beliau berkata, dalam satu kes saman fitnah, mahkamah mengambil masa 5 tahun mendapati dirinya tidak bersalah, dan kes seperti penyiasatan 1MDB itu tentu akan berlarutan.
"Saya hendak satu suruhanjaya yang benar-benar bebas. Kita perlu orang yang betul-betul neutral untuk melakukan siasatan menyeluruh," kata Dr Mahathir. TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan