PETALING JAYA, 29 MEI: Perhimpunan aman #Blackout505 akan diteruskan Jun ini melibatkan empat lokasi yang ditentukan penganjur.
Perkara ini diumumkan Pengarah Perhimpunan Blackout 505, Datuk Johari Abdul dalam satu sidang media hari ini.
Tarikh baru perhimpunan #Blackout505 adalah:
10 Jun – Perlis
11 Jun – Sungai Petani, Kedah
12 Jun – Kota Bharu, Kelantan
14 Jun – Batu Pahat, Johor
Menurut Johari, perhimpunan diteruskan dengan tiga asas tuntutan reformasi pilihan raya yang perlu dipatuhi kerajaan.
Tiga asas tuntutan adalah keseluruhan anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekarang meletakkan jawatan di atas kegagalan mereka memastikan Pilihan Raya Umum Ke 13(PRU-13) berjalan dengan telus, cekap, tanpa keraguan dan memenuhi janji mereka kepada rakyat seperti tuntutan Bersih.
Sehubungan itu, satu pasukan SPR baru dilantik dan dipersetujui bersama dengan Pakatan Rakyat dan kumpulan masyarakat sivil yang mewakili rakyat untuk merangka reformasi SPR untuk dibentang serta dipersetujui di Parlimen kelak.
Asas kedua adalah pilihan raya semula di 30 kawasan Parlimen yang diragui bila mana bukti kukuh dibawa.
Sementara asas ketiga adalah menangguhkan sebarang bentuk pindaan undang-undang pilihan raya dan persempadanan semula sehingga anggota SPR baru yang berwibawa dan dipersetujui oleh kesemua pihak dibentuk.
Tegasnya lagi, tuntutan yang dikemukakan adalah jelas untuk dipenuhi supaya pembaharuan selepas penipuan PRU-13 boleh bermula.
“Sehingga kini lebih setengah juta rakyat Malaysia pelbagai kaum dan latar belakang menyertai #Blackout505 di seluruh Malaysia.
“Ia menjadi lambang baru kesedran politik rakyat yang mewakili suara majoriti 51 pertaus rakyat yang menyokong reformasi dan pembaharuan di negara ini,” ujar beliau lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan