SPECIAL ADS

29 Mei 2013

Selangor perlu fokus kepada Anjung Utara

29 Mei : KEGAGALAN Pakatan Rakyat untuk menang lima kerusi parlimen di utara Selangor  dalam PRU13 pada 5 Mei lalu seharusnya diberi perhatian serius oleh kerajaan Pakatan Rakyat Selangor untuk penggal kedua ini.

PRU lalu BN menang bergaya di lima kerusi berkenaan iaitu Sabak Bernam, Sungai Besar, Tanjong Karang, Kuala Selangor dan Hulu Selangor. Kesemuanya berada di utara Selangor dan di kawasan pengundi Melayu.

Kerusi parlimen Kuala Selangor yang disandang oleh PAS turut dirampas semula oleh BN dalam PRU lalu.

Walaupun Pakatan Rakyat  terus mentadbir negeri ini dengan memenangi 44 kerusi daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) namun, kehilangan lima kerusi itu harus dikaji mengapa ianya tidak menjadi milik Pakatan Rakyat dalam pilihan raya lepas.

Kehilangan lima kerusi itu, sebagaimana dijangka oleh sesetengah pihak kerana sebab-sebab tertentu antaranya projek-projek pembangunan yang dijalankan kerajaan Pakatan Rakyat pada penggal pertama belum menyeluruh.

Antara yang jelas masalah projek terbengkalai merupakan isu utama yang sering dibangkitkan penduduk sehingga daerah ini dikatakan sinonim dengan pembangunan terbengkalai.

Kesan buruk pembangunan itu bermula sejak zaman pemerintahan BN lagi dan rakyat mahu agar peralihan kuasa di peringkat negeri mampu membawa perubahan.

Malangnya, hampir sepenggal penguasaan Pakatan Rakyat di Selangor, tiada sebarang perubahan membanggakan dapat dipersembahkan kepada rakyat di kawasan ini.

(Bukit Beruntung yang tidak untung)

Terdapat sebanyak 11 projek terbengkalai di sekitar Hulu Selangor melibatkan kawasan di Bukit Beruntung, Bukit Sentosa, Lembah Beringin, Batang Kali, Serendah, Rasa, Kerling, Hulu Bernam, Rawang dan Sungai Choh.

Rekod tersebut turut menunjukkan jumlah keseluruhan unit yang terbengkalai adalah 3,832 unit termasuk rumah teres dan teres berkembar, lot banglo dan banglo setingkat, kedai bertingkat dan bangunan pejabat serta bangunan perindustrian.

Pembangunan keseluruhan kawasan tersebut bermula antara 1995 hingga 2006 dan kawasan paling banyak pembinaan terbengkalai adalah Bukit Beruntung dan sekitar Bukit Sentosa serta Lembah Beringin.

Bagaimanapun, Kerajaan Selangor di bawah pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim menyedari masalah ini dan berjanji akan menumpukan pembangunan di kawasan luar bandar seperti Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Tanjung Karang pada penggal kedua ini.

Dalam wawancaranya dengan Malaysiakini, Khalid berjanji akan memberikan fokus kepada pembangunan luar bandar yang sebelum ini agak terabai. Hasilnya, Pakatan hanya menang di bandar dan kalah di kawasan luar bandar ini.

Langkah ini supaya rakyat di kawasan-kawasan pendalaman tersebut dapat merasa nikmat kekayaan Selangor yang selama ini tertumpu di kawasan bandar seperti Petaling Jaya, Shah Alam, Klang dan Ampang.

Usaha pembangunan tersebut meliputi pembinaan infrastruktur seperti jalan raya dan bangunan komersial, selain penjanaan industri kecil dan sederhana serta besar bagi membuka lebih banyak peluang  pekerjaan untuk belia.

Dasar pembangunan desa dimulakan pada penggal lalu oleh pentadbiran Pakatan Rakyat Selangor yang mana objektifnya adalah supaya rakyat luar bandar tidak perlu berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan dan perumahan yang setaraf dengan masyarakat bandar.

Antara inisiatif yang dimulakan untuk memenuhi objektif tersebut adalah pembinaan  Projek Rumah Mampu Milik di Sabak Bernam dan lebih banyak pusat komersial di Kuala Selangor.

Dalam Kongres PKR baru-baru ini pula, Khalid Ibrahim(gambar) secara berseloroh menerima teguran yang mengatakan beliau sebelum ini merupakan seorang yang kedekut.

Beliau juga berkata, berdasarkan teguran itu, beliau kini mengambil inisiatif untuk "membelanjakan" wang kerajaan negeri Selangor yang telah disimpan sebelum ini.

"Tuan-tuan kata saya sangat kedekut. Itu bukan duit saya. Tapi saya terima... Saya terima konsep itu. Saya kena belanjakan duit itu lebih baik lagi. Buat apa simpan duit begitu banyak.

"Jadi saya ingin memulakan supaya kawasan perkampungan di desa akan dibangunkan melalui beberapa usaha supaya pendapatan mereka dalam masa tiga tahun akan datang akan bertambah," kata Khalid  dalam ucapan pergulungan Kongres Nasional Keadilan kali ke-9 di Petaling Jaya baru-baru  ini.

Kerajaan negeri bawah pimpinan Khalid telah mengumpulkan sejumlah RM2.6 bilion dalam bentuk rizab.

Jika ini yang hendak dilakukan Khalid bermakna kawasan Anjung Utara inilah yang bakal menjadi sasaran pembangunan Selangor sepanjang penggal lima tahun kedua beliau menjadi MB Selangor.

Sebelum ini, Anjung Utara ini dibangunkan oleh bekas MB Selangor, Tan Sri Muhamad Haji Mohd Taib. Sebagai salah seorang Adun di Hulu Selangor (Batang Kali), Muhamad cuba membangunkan kawasan ini.

Maka lahirlah projek Bukit Beruntung dan Lembah Beringin yang termasuk dalam Anjung Utara Selangor ini.

Namun selepas beliau tidak menjadi MB, fokus kepada kawasan ini sudah tidak ada. Hasilnya projek Bukit Beruntung bukan lagi menguntungkan pembeli dan penduduknya bahkan merugikan.

Menjelang PRU 13 lalu, Muhamad menyertai PAS. Antara kesannya, PAS berjaya menambahkan kerusinya dari lapan ke 15 kerusi dalam DUN Selangor.

(TS Muhamad Taib menyertai PAS menjelang PRU 13 lalu...pengalaman beliau tidak wajar dibiarkan begitu sahaja)

Selepas pilihan raya, Muhamad antara tokoh yang faham benar dengan kawasan ini dan kemampuan yang beliau ada perlu dipergunakan sepenuhnya untuk kepentingan Selangor dan rakyatnya.

Penyertai Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifudin Nasution Ismail ke dalam kerajaan negeri Selangor juga harus dipergunakan sepenuhnya untuk membangunkan kawasan ini.

Gunalah sepenuhnya bank tanah yang ada hasil pembelian aset Talam oleh kerajaan negeri dan janganlah ia dijeruk sahaja dalam PKNS itu. Sekurang-kurangnya berilah mereka harapan.

Laporan khas Salmiyah Harun

Tiada ulasan: