SPECIAL ADS

28 Mei 2013

'Himpunan bukan untuk tumbangkan kerajaan'

28 Mei : Siri-siri himpunan rakyat selepas pilihan raya umum berlangsung bukan satu usaha untuk menumbangkan kerajaan, kata jurucakap NGO Lawyers for Liberty, Michelle Yesudas.

Sebaliknya, tegas Yesudas, ia adalah satu wadah rakyat untuk menyampaikan suara mereka secara kolektif kepada kerajaan selepas menyedari terdapat jurang komunikasi di antara rakyat dan pihak berkuasa.

NONE"Himpunan-himpunan ini memberi kesedaran bahawa kita sebenarnya boleh bersama merapatkan jurang sesama kita.

"Ia bukan bertujuan menumbangkan kerajaan. Ia adalah cara kita menyusun diri kita sendiri," kata Yesudas dalam sidang media pertubuhan masyarakat sivil di Kuala Lumpur pagi tadi.

Beliau mengulas mengenai himpunan Blackout 505 dan juga himpunan nyalaan lilin yang diadakan bagi membantah siri penangkapan dan pendakwaan terhadap aktivis dan pemimpin politik Pakatan Rakyat baru-baru ini.

Semalam enam pemimpin Pakatan didakwa di mahkamah mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 berhubung dakwaan penglibatan mereka dalam perhimpunan 'Blackout 505' kerana didakwa gagal memaklumkan polis dalam tempoh 10 hari sebelum menganjurkan perhimpunan itu. 

NONEBercakap dalam sidang media sama, Pengarah NGO Tenaganita, Irene Fernandez mempersoalkan pendakwaan ke atas individu yangmenganjurkan himpunan itu.

Menurutnya, pendakwaan tersebut mencabul hak asasi manusia berkaitan kebebasan menyuarakan pendapat dan ia sepatutnya bersifat substantif dan bukan berdasarkan perkara teknikal seperti tempoh masa penyerahan notis himpunan.

"Kenapa guna Akta Perhimpunan Aman terhadap perkara yang sangat bersifat teknikal? 

"Dalam perkara berkaitan hak asasi manusia, kita perlu meneliti perkara yang bersifat substantif.

"Gugurkan semua dakwaan itu kerana ia mencabul hak yang asasi dan sah menurut Perlembagaan," kata Fernandez.

Tiada ulasan: