SPECIAL ADS

30 Mei 2013

Khalid janji bangunkan luar bandar, jaga agama Islam

(Khalid membuat ucapan di depan Tuanku Sultan Selangor sempena perlantikan Exco hari ini)

KLANG 30 Mei : Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim sekali lagi berjanji akan meningkatkan pendapatan rakyat khasnya di luar dan pinggir bandar di samping menjaga kesucian agama Islam.

Ia bertujuan agar mereka dapat menikmati kehidupan yang “serba ada” seiring dengan keadaan kehidupan penduduk di bandar-bandar.

"Tiada gunanya jika negeri Selangor bergelar negeri maju sedangkan sebilangan penduduk, terutama penduduk luar bandar masih tercicir dalam hal menikmati kemajuan di negeri ini," kata Khalid Ibrahim.

Beliau berkata demikian di majlis angkat sumpah dan simpan rahsia ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor hari ini.

Janji itu dibuat di depan Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah di Istana Alam Shah, Klang.

10 anggota Exco Selangor mengangkat sumpah sebagai ahli MMK hari ini iaitu empat dari PAS, tiga PKR dan tiga DAP.

Mereka adalah Iskandar Abdul Samad (Cempaka), Dr. Ahmad Yunus Hairi (Sijangkang), Dr. Halimah Ali (Selat Klang) dan Sallehen Mukhyi (Sabak) dari PAS.

Ean Yong Hian Wah (Sri Kembangan), Ganapathi Rao a/l Veraman (Kota Alam Shah) dan Datuk Teng Chang Khim (Sungai Pinang) dari DAP.

Rodziah Ismail (Batu Tiga), Dr. Daroyah Alwi (Sementa) dan Wong Keat Ping @ Elizabeth Wong (Bukit Lanjan) dari PKR.

Dalam pilihan raya lalu, Pakatan Rakyat kalah lima Parlimen yang terletak di kawasan luar bandar dan utara Selangor iaitu Kuala Selangor, Tanjung Karang, Hulu Selangor, Sabak Bernam dan Sungai Besar.

Di kawasan ini, penduduknya terdiri dari petani dan nelayan di samping kawasan pembangunannya yang terbantut atau terbiar.


Jaga agama Islam



Dalam ucapannya, Khalid juga berjanji akan berusaha bagi memastikan pembangunan negeri dan kebajikan rakyat Selangor terus dipelihara dengan baik, adil dan saksama.

"Patik tekad berusaha gigih untuk mengekalkan kedudukan Selangor sebagai destinasi pelaburan utama para pelabur dari dalam negara mahupun dari luar negara," katanya.

Beliau juga bertekad untuk meneruskan kecemerlangan Selangor selaku penyumbang utama terhadap pembangunan dan pendapatan negara Malaysia.

"Hanya dengan kedudukan dan tahap pencapaian sedemikian, maka seluruh rakyat Tuanku dapat sama menikmati limpahan pembangunan serta dapat meningkatkan kualiti kehidupan mereka," katanya.

Beliau juga berjanji akan berusaha memastikan kesucian agama Islam sentiasa dilindungi dan dengan sedaya upaya menghalang mana-mana pihak yang berhasrat mencemari kesucian agama Islam, agama rasmi di negeri tercinta ini.

"Patik hamba tua juga akan memastikan hak dan kepentingan orang Melayu di negeri ini seperti yang termaktub  dalam Perlembagaan Persekutuan,  sentiasa terjamin dan tidak diganggu gugat oleh mana-mana individu, kumpulan mahupun puak sama ada dari dalam ataupun dari luar.

"Pada masa yang sama patik berusaha untuk melindungi hak dan kepentingan yang di miliki kaum-kaum lain di negeri ini agar negeri Selangor menjadi negeri yang harmoni diduduki oleh semua kaum," katanya.

Tiada ulasan: