KUALA LUMPUR 31 Mei : Barisan Nasional (BN) mengucapkan terima kasih kepada rakyat yang mengundinya dengan memaksakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), kata Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar.
Beliau menyifatkan kenyataan bahawa kerajaan tidak akan melaksanakan GST dalam tempoh terdekat menambahkan lagi rasa terdera rakyat di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN).
"Tidak akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat maknanya GST tetap akan dilaksanakan juga.
"Ertinya kerajaan tetap mempunyai niat untuk mendera dan menghukum rakyat dengan GST.
"Rakyat tentulah merasa semakin terdera dengan kenyataan kerajaan yang berkeras hendak melaksanakan GST itu walaupun kononnya bukan dalam waktu terdekat," kata beliau.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, amat malang bagi rakyat kerana GST akan dipaksakan ketika pendapatan mereka tidak meningkat.
"Isunya sekarang bukan soal berapa peratus cukai GST itu, isunya pendapatan rakyat tidak bertambah tetapi beban mereka pula yang akan bertambah," kata Mahfuz.
Beliau berkata, ketika kerajaan tidak pernah menafikan akan menaikkan harga minyak dan pelbagai tarif lain bila-bila masa sahaja selepas pilihan raya umum yang lalu, harga barangan pasti akan naik dan naik lagi apabila kerajaan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan perlu.
"Dengan kenaikan harga barang dan ditambah pula dengan bebanan GST, ia pasti akan sangat mendera dan menghukum rakyat termasuklah yang mengundi BN dalam pilihan raya yang lalu.
"Itulah sebabnya saya katakan bahawa GST adalah ucapan terima kasih BN kepada pengundi-pengundinya dalam pilihan raya yang lalu," kata Mahfuz (gambar).
Walaupun Pakatan Rakyat telah memberi jaminan tidak akan melaksanakan GST dalam manifesto pilihan rayanya, kira-kira 47 peratus rakyat negara ini tetap memilih BN yang berkeras mahu melaksanakan GST.
Mahfuz juga menyifatkan GST adalah tindakan mendera rakyat bagi kepentingan korporat.
"Bila menteri kata pelaksanaan GST itu juga adalah sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mengurangkan cukai korporat dan cukai peribadi, ia bermakna beban cukai dihempuk atas kepala rakyat untuk mengurangkan cukai korporat," kata beliau.
Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah sebelum itu berkata, kerajaan tidak akan melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dalam tempoh jangka dekat kerana ia masih mengkaji kesan dan kadar yang akan dilaksanakan.
Katanya, kerajaan masih berunding dengan ahli politik, sektor swasta dan awam sebelum membuat apa-apa keputusan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan