KUALA LUMPUR 28 Mei : Pemimpin-pemimpin MIC perlu berhenti daripada mempertikai mengenai kedudukan dan pelantikan jawatan, sebaliknya menumpukan perhatian terhadap meningkatkan kehidupan masyarakat India, kata seorang penyelidik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini.
"Masalah orang India adalah besar dan banyak kerja yang perlu dilakukan," kata Datuk Dr Denison Jayasooria, Felo Penyelidik Utama Institut Kajian Etnik, UKM.
Dr Denison mengulas mengenai rungutan oleh MIC bahawa wakil parti itu yang sepatutnya mengetuai Unit Hal Ehwal India di bawah Jabatan Perdana Menteri, bukannya pengerusi Hindraf P.Waythamoorthy.
Waythamoorthy juga dilantik sebagai Senator dan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.
"Kenapa bising dengan pelantikan sekarang, selepas Najib menandatangani memorandum persefahaman dengan Hindraf bulan lepas mengenai penubuhan unit itu. Dari masa perjanjian itu ditandatangani sehingga pelantikan beliau, tiada pemimpin MIC menyuarakan bantahan terhadap terma (perjanjian), yang menyatakan peranan pelaksanaan oleh Hindraf," katanya kepadaBernama ketika dihubungi hari ini.
Mengenai beberapa pihak yang membangkitkan mengenai keikhlasan Waythamoorthy, Dr Denison berkata hanya masa yang boleh menentukan sama ada keikhlasan Waythamoorthy adalah benar-benar untuk kepentingan masyarakat atau kepentingan diri.
"Pelantikan ini menunjukkan Najib menepati janji yang dibuat pada 18 April tahun ini. Kita perlu terima bahawa perdana menteri menepati janji berdasarkan pelan tindakan lima tahun yang ditandatangani," katanya.
Beliau berkata Waythamoorthy, seorang yang bukan pemimpin politik, mungkin boleh memberi tumpuan dalam menyelesaikan pelbagai isu untuk faedah 40 peratus golongan bawahan masyarakat India.
Pelantikan itu, dikritik oleh beberapa individu, termasuk abang Waythamoorthy sendiri, Uthayakumar, yang mendakwa dirinya pemimpin Hindraf, kerana menerima jawatan kabinet dan menggelarkan adiknya itu sebagai oportunis politik.
Ketua Pemuda MIC T Mohan juga tidak berpuas hati dengan pelantikan itu dan menyatakatan ia akan semakin melemahkan sokongan masyarakat India terhadap kerajaan.
Sementara itu Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia berkata pelantikan Waythamoorthy adalah prerogatif perdana menteri.
Oleh itu, beliau berkata pengerusi Hindraf yang dilantik khusus untuk membantu melaksanakan manifesto Barisan Nasional itu, perlu membawa perubahan positif kepada kedudukan sosio-ekonomi masyarakat India.
"Memandangkan beliau telah dilantik oleh perdana menteri, adalah lebih baik untuk kedua-dua pihak (Hindraf dan MIC) bekerjasama erat bagi memastikan hasil pelan tindakan itu, yang akan memberi manfaat kepada masyarakat.
"Pemimpin-pemimpin mesti berhenti bertengkar sesama sendiri, sebaliknya perlu membantu antara satu sama lain untuk pembangunan nasional," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan