27 Mei : (Kenyataan Dr Xavier Jayakumar, Adun Seri Andalas) Saya merujuk kepada kenyataan Datuk Seri Mahzhir Khalid, Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dalam akhbar New Strait Taimes hari ini.
Kerajaan Selangor mengalu-alukan kesediaan Kerajaan Persekutuan mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Negeri bagi membincangan isu berkaitan air di Lembah Klang, Kuala Lumpur dan Putrajaya tetapi ianya harus mengambil kira ‘roh’ dan semangat Akta Perkhidmatan Industri Air (Water Services Industry Act )(WSIA 2006).
Dalam kata lain akhirnya urusan pengendalian dan pengurusan air tersebut haruslah dikembalikan kepada kerjaaan Negeri.
Saya sebagai mantan Exco Kerajaan Negeri Selangor yang bertanggungjawab berkaitan isu air ini sebelum inipun telah mengadakan beberapa siri pertemuan dan perbincangan dengan mantan Menteri Air, Datuk Seri Peter Chin serta pegawai-pegawai kementerian tetapi menemui jalan buntu kerana kerajaan Persekutuan dilihat lebih cenderung menyebelahi syarikat konsesi air (Syabas) dari mencari jalan penyelesaian kepada isu air ini.
Tawaran Kerajaan Negeri kepada Syabas dan 3 syarikat konsesi air lain baru-baru ini berjumlah RM9.65 bilion ditolak oleh Syabas.
Sepatutnya Menteri tersebut menggunakan kuasanya untuk memuktamatkan penstrukturan dan pengambil alihan pengurusan air tesebut seperti termaktub di bawah Akta WSIA tersebut.
Keadaan diburukkan lagi apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyuddin Yassin serta pemimpin Umno Selangor, Datuk Noh Omar dan Datuk Ir Mohd Zain Mohamed terus memberikan pelbagai penentangan terhadap proses pengambil alihan urusan air ini oleh pihak Kerajaan Selangor dari tangan Syabas.
Kita ingin memberi amaran kepada Datuk Seri Mahzir Khalid agar tidak terus “langgar” (bulldozer) pembinaan Loji Langat 2 tanpa kebenaran dan kelulusan Kerajaan Negeri kerana hak terhadap tanah dan pengurusan air adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri seperti diperuntukan oleh Perlembagaan.
Perlanggaran hak ini oleh Kerajaan Persekutuan akan menjadi ‘precedent’ bagaimana Kerajaan Pusat mengamalkan diskriminasi dan “membuli” sebuah Kerajaan Negeri ini mecemarkan system Federalisme yang diamalkan selama ini.
Kerajaan Negeri yang mempunyai mandat dua pertiga di Negeri Selangor dalam PRU 13 yang lalu tidak akan sekadar berdiam diri sebaliknya akan segera membawa Menteri Tenaga , Teknoloji Hijau dan Air serta Kerajaan Persekutuan ke Mahkamah demi mempertahankan hak rakyatnya di segi undang-undang.
Kita ingin tegaskan bahawa kelewatan pembinaan Loji Langat 2 ini akan hanya menyebabkan ‘kerugian yang besar’ kepada syarikat-syarikat kroni yang berlegar di sekeliling pemimpin-pemimpin Umno dan semua “cerita-cerita” tentang krisis air yang digembar-gemburkan oleh media arus perdana sejak beberapa tahun kebelakangan ini merupakan sebahagian ‘reka-rekaan” untuk memberi tekanan kepada Kerajaan Negeri agar segera meluluskan pembinaan loji tersebut.
Sebaliknya rakyat Selangor tidak mempercayai cerita-cerita berkaitan krisis air ini sebaliknya terus memberikan mandat baru yang jauh lebih besar untuk menyokong Kerajaan pakatan Rakyat untuk terus menerajui pentadbiran Negeri Selangor.
Kita ingin tegaskan bahawa Loji Langat 2 boleh dibina dengan syarat kerajaan Pusat bersetuju ianya “bersekali” dengan memuktamatkan pengambil alihan pengurusan air oleh Kerajaan Negeri seperti peruntukan WSIA 2006.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=52693
Tiada ulasan:
Catat Ulasan