SPECIAL ADS

25 Mei 2013

MB Selangor : Rizab Simpanan Selangor Dibelanja Bangunkan Luar Bandar


PETALING JAYA 25 MEI : Simpanan Rizab Selangor yang berjumlah RM 2.6 bilion akan digunakan secara berhemah untuk membangunkan kawasan luar bandar di negeri itu.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, beliau telah mengumbal rancangan tiga tahun untuk membangunkan kawasan desa di negeri terkaya itu supaya rakyat di pendalaman dapat menikmati kualiti hidup yang setaraf dengan mereka di bandar.
Beliau juga berkata pelan tiga tahun itu merangkumi usaha untuk mempertingkatkan pendapatan penghuni kawasan pendalaman.
Pada masa yang sama, wang rizab yang dibelanjakan akan ditambah dengan mencari sumber pendapatan baru bagi Kerajaan Negeri.
“Duit itu akan dijaga dengan baik dan dilihat ke mana wang itu dibelanjakan.
“Saya akan mencari mereka yang telah menyalahgunakan duit rakyat dan dikembalikan dalam dana simpanan negeri supaya dapat digunakan untuk rakyat.
“Dari masa ke semasa saya akan mengumumkan apa yang dilakukan dan hal yang akan dilakukan,” kata Abdul Khalid.
Beliau berkata demikian semasa Ucapan Penggulungan Kongres PKR Kali Ke-9 yang diadakan di Dewan Sivik Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) di sini.
Sebelum ini, Abdul Khalid dilaporkan berkata bahawa beliau akan menumpukan perhatian kepada pembangunan kawasan pendalaman Selangor di dalam penggal keduanya sebagai Menteri Besar.

Tiada ulasan: