SPECIAL ADS

29 Mei 2013

Rafizi : Kerajaan tak ikhlas turunkan harga kereta

KUALA LUMPUR 29 Mei : Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli menjangkakan usaha kerajaan untuk menurunkan harga kereta secara berperingkat, seperti yang dijanjikan dalam kempen pilihan raya lalu, akan menjejaskan pekerja serta industri automobil tempatan.

Katanya, beliau menjangkakan demikian kerana rancangan penurunan harga kenderaan oleh kerajaan itu akan menumpukan kepada kadar keuntungan pengeluar dan penjual kereta.

Ia berbeza dengan kaedah yang dicadangkan Pakatan Rakyat terlebih dahulu – iaitu mengurangkan kadar cukai yang dikenakan ke atas kenderaan terbabit.

"Saya kira, tak ada keikhlasan langsung dan cara mereka buat sekarang ialah dengan menekan pembuat dan penjual kereta dengan mengurangkan margin. Ini tidak adil. Contohnya kepada Proton dan Perodua. Bila ditekan untuk kurangkan margin, ia beri kesan pada pekerja, bonus pekerja. 

"Sebab itu dalam cadangan kami (Pakatan) tak sentuh langsung kos dan gaji sebab yang buat harga kereta tinggi ialah cukai. Sebab itu sampai sekarang dia kata ambil masa lama kerana mereka akan memujuk dan tekan pembuat dan industri kereta," katanya kepada pemberita di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

Semalam, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kadar pengurangan harga kereta akan dibuat secara berperingkat sehingga 2017. 

Katanya, bersandarkan manifesto kerajaan yang telah dibuat pada pilihan raya umum lalu, kerajaan telah berjanji akan mengurangkan harga kereta antara 20 hingga 30 peratus dalam tempoh lima tahun.

Menurutnya, usaha pengurangan harga kereta haruslah dilaksanakan secara berhemah dan tersusun supaya ia tidak menjejaskan pertumbuhan industri dan peluang pekerjaan yang sedia ada bagi sektor industri terbabit dan berkaitan.

Rafizi bagaimanapun menegaskan bahawa cara yang lebih mudah untuk menurunkan harga kereta adalah dengan mengurangkan cukai kenderaan tersebut. 

Katanya, beliau akan menggunakan peluang di persidangan Parlimen untuk memberi tekanan kepada menteri yang berkaitan untuk menurunkan cukai eksais kenderaan. 

"Saya beri amaran pada mustafa jangan cuba guna taktik nak kurangkan dua, tiga peratus tiap-tiap tahun dan nanti nak dekat pilihan raya baru nak kurangkan 20 peratus. Menurunkan harga kereta ini cukup mudah dengan kurangkan cukai eksais," katanya lagi.

Tiada ulasan: