SPECIAL ADS

6 Mei 2013

Desakan Pilihanraya Semula Dalam Tempoh 6 Bulan.

06 Mei : "Keputusan PRU13 sudah dimaklumi keputusannya. Sebagai pejuang Islam kita sentiasa menang di sisi Allah. Kita hendaklah bersyukur untuk itu. Namun kita kena akui bahawa kita gagal menjulang panji-panji Islam. Umpama, kita kecurian. 

Kita kena redha musibah yang berlaku itu. Tetapi apabila kita dapat tangkap orang yang mencuri duit kita, kita berhak untuk mendapatkan kembali duit itu dan memastikan pencuri itu mendapat hukuman. 

Bukan maknyanya apabila kita redha maka kita biarkan kezaliman bebas tanpa hukuman. Dalam tulisan pasca-PRU13, ini aku ingin mencadangkan satu desakan yang kuat agar pilihanraya diadakan semula dalam tempoh 6 bulan. 

A.   Manipulasi Berlaku Dalam PRU13

Pertama, penipuan berlaku dalam daftar pemilih melibatkan pendatang asing. Berdasarkan dokumen bergambar, jelas warga asing membantu kemenangan BN. Benar mereka ada IC. Inilah hujah SPR. Memang bukan tugas SPR untuk memastikan keabsahan kewarganegaraan mereka. Penipuan dan kedurjanaan pihak tertentulah yang memberi IC kepada mereka. Mereka sah bukan warganegara. Kalau tidak masakan mereka apabila disoalsiasat tidak tahu nama PM Malaysia, tak tahu lagu Negaraku, tidak dapat berbahasa Malaysia dengan baik malah tak tahu alamat IC mereka sendiri. Tak anehkah ?  Ini bukan soal rupa-paras atau warna kulit sahaja wahai Pengerusi SPR.

Benar, bilangan pendatang asing yang tertangkap kerana cuba mengundi tidak ramai. Namun kalau pihak pengkhianat cuba memenangi PRU13 dengan bantuan undi pendatang asing, masakan mereka hanya mengeluarkan 1 000 IC sahaja. Takkan 1 000 undi dapat cover kekurangan undi mereka? Paling logiknya berdasarkan pengundi yang tidak dikenalpasti dalam daftar pemilih, sekurang-kurangnya 40 000 orang yang diaturkan di segala ceruk rantau.

Kedua, pengundian awal yang tidak telus. Rakyat mempertikaikan keselamatan dan keabsahan isi peti-peti undi. Dalam tempoh 5 hari tersimpan, tidak mustahilkah pihak yang ada kuasa melakukan manipulasi. Bagaimana nasib undi-undi awal ini? Sebagai rakyat, aku berhak rasa ragu lebih-lebih lagi BN bagai minta nyawa dan PM bersumpah dan merayu-rayu untuk menang.

Ketiga, dakwat kekal yang tidak kekal. Ini cukup nyata tanpa bersuluh lagi satu permainan SPR sebagaimana SPR bermain untuk membatalkan penggunaan dakwat kekal pada PRU12 dahulu. Duit rakyat habis berjuta namun pengundian berganda boleh dilakukan, baik oleh pendatang asing mahupun rakyat tempatan sendiri. Bagaimana dengan askar dan tentera yang mungkin namanya ada 2 kali dalam daftar pemilih? Mustahil undi 2 kali? Warga asing yang ditangkap di Dungun ada calitan dakwat di kedua-dua belah jari telunjuknya.

B.   Ketidakadilan Dalam Proses Demokrasi

Semacam dulu-dulu juga, BN membolot segala media massa arus perdana. Media inilah bersifat menyeluruh liputannya baik menguasai masa puncak mahupun liputan kawasan hingga pedalaman Sarawak. Rakyat hanya disogok dengan kempen, putar-belit dan fitnah pemimpin BN. Rakyat luar bandar terutamanya sudah pasti kurang capaian internet. Justeru, mereka hanya menilai secara satu hala yakni melalui mulut pemimpin BN. Kalau baik kata BN, baik-lah. Bila pula BN bermurah hati untuk memberi kredit kepada musuhnya? Yang terkeluar ialah adu domba, fitnah, kelucahan dan segala macam dosa yang Allah saja dapat membalasnya di akhirat kelak.

Ini tidak termasuk lagi rasuah pilihanraya. Beri duit BR1M, itu dan ini dengan sumpah pangkah BN. Dipanggil, dikumpul dan diwajibkan kakitangan kerajaan mengikuti sesi brainwash mereka atas nama kursus profesionalisma. Isinya hanya Allah yang tahu perbuatan terkutuk manusia. Spesis apakah ini? Tak malu kepada manusia, tak takut kepada Tuhan?

Konklusinya, aku dengan sedar diri dan ikhlas dalam memberi pendapat menyatakan bahawa aku tidak mengiktiraf kemenangan BN yang aku amat yakin ada berlaku penipuan dan ketidakadilan untuk bersaing di padang yang sama rata. Andai aku iktiraf samalah aku iktiraf 1Penipuan dan 1Ketidakadilan.

Aku kecewa bukan untuk diriku tetapi aku kecewa kepada gagal memenangkan Islam atas tipudaya musuh yang cukup hebat. Tuan-tuan jangan meletakkan harapan pada PRU14 apabila melihat jurang BN dan PR semakin rapat. Kalau inilah SPR, kalau inilah demokrasi Malaysia, kalau inilah perangai penguasa politik Malaysia…..haram tak akan ada jalan untuk pembangkang dalam demokrasi di Malaysia.

Atas segala ketempangan, pilihanraya baru mesti didesak untuk diadakan semula.  Kita boleh redha dengan kecurian. Namun jika kita ketemu dengan pencurinya kita akan minta semula wang kita. Kalau tidak diberi aku pukul kepalanya. 

Permintaanku kepada pemimpin dan aktivis PR, kumpulkan segala bukti untuk didokumentasikan kepada rakyat sebagai justifikasi desakan ini.

Oleh: AntiKarat


Tiada ulasan: