SPECIAL ADS

14 Mei 2013

Guan Eng sedih ahli akademik berat sebelah

Lim Guan Eng
SHAH ALAM 14 Mei : Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mendakwa kenyataan Pro-Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tan Sri Abdul Rahman Arshad mengenai penghapusan sekolah vernakular baru-baru ini sebagai berbaur hasutan.

Menurutnya, kenyataan ahli akademik yang berani mencadangkan penghapusan sekolah vernakular itu disebabkan sokongan Barisan Nasional (BN) yang kuat terhadapnya.

"Beliau berani menyatakan untuk pemansuhan sekolah Cina dan Tamil vernakular kerana mendapat sokongan dan jaminan daripada BN.

"Dia tahu dia tidak akan dipecat sebagai pro-Canselor Of Universiti Teknologi Mara (UiTM) walaupun membuat kenyataan berunsur hasutan itu," katanya pada satu kenyataan media, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Abdul Rahman menyatakan pendapatnya mengenai sekolah-sekolah vernakular yang perlu diubah kepada sekolah satu aliran menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar untuk memperkukuh perpaduan rakyat.

Mengulas lanjut, Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang mempersoalkan kedudukan sekolah beraliran vernakular yang tidak dihapuskan ketika BN berjaya mendapat sokongan daripada masayarakat kaum Cina ketika PRU sebelum ini.

"Kenapa sekolah vernakular tidak dipersalahkan apabila masyarakat Cina menyelamatkan kerajaan BN daripada kekalahan dalam pilihan raya umum 1999 dan mengundi BN pada tahun 1995 dan 2004?

"BN tidak sepatutnya berperangai hipokrit dengan melepaskan kekecewaan pada sekolah tetapi sepatutnya berusaha untuk menyelamatkan mereka," katanya lagi.

Dalam pada itu, Guan Eng yang juga meluahkan rasa kecewanya terhadap kenyataan ahli akademik yang 'berat sebelah'.

"Walau bagaimanapun, saya berasa sedih bahawa ahli akademik boleh membuat kenyataan berunsur hasutan itu yang bertentangan dengan konsep sebenar pendidikan," katanya.

Tiada ulasan: