SPECIAL ADS

14 Mei 2013

Hari Bertuah 3 'Khalid' Pada 14 Mei 2013

KUALA LUMPUR: Hari ini (14 Mei 2013) merupakan hari bertuah bagi tiga rakyat Malaysia yang berkongsi nama 'Khalid'.Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilantik semula sebagai Menteri Besar Selangor bagi penggal kedua.
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menurunkan tandatangan pada watikah pelantikan sebagai Menteri Besar di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pula mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor.
Individu bernama Khalid yang ketiga iaitu Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pula dilantik sebagai Ketua Polis Negara baharu berkuat kuasa Jumaat ini.
Tan Sri Khalid Abu Bakar
Abdul Khalid mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, Klang, pagi ini.
Mohamed Khaled pula mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar yang baharu di hadapan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar di Dewan Undangan Negeri, Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, Johor Baharu, juga pagi Selasa.
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menandatangani watikah sebagai Menteri Besar Johor dihadapan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Majlis Istiadat Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor di Dewan Persidangan, Dewan Negeri Johor, Bangunan Sultan Ibrahim, Johor Baharu. -fotoBERNAMA
Mohamed Khaled mengambil alih jawatan itu daripada Datuk Abdul Ghani Othman yang menerajui kerajaan negeri Johor selama 18 tahun sejak 1995.
Khalid menggantikan Tan Sri Ismail Omar yang bersara selepas tamat kontrak, Khamis ini.
Antara jawatan lain yang pernah disandang Khalid sebelum ini adalah Ketua Polis Negeri Sembilan, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan Ketua Polis Selangor. - BERNAMA

Tiada ulasan: