SPECIAL ADS

22 Mei 2013

Hayati titah ucapan Pemangku Raja Perak

22 Mei : Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menjunjung tinggi titah ucapan Raja Muda Perak Dr Raja Nazrin Shah yang menekankan bahawa isu integriti amat penting penting dalam mencorak kepimpinan dan pemerintahan negara.

DPPM merasakan inti ucapan Dr Raja Nazrin amat relevan dan sesuai untuk dihayati oleh semua pihak terutama pemerintah sekarang.

Isu integriti memainkan peranan memastikan kerajaan BN terus relevan atau ditolak oleh rakyat.

BN mencipta kejayaan cemerlang ketika di era Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2004 kerana Tun Abdullah berjaya memberi suatu keyakinan rakyat untuk meningkatkan integriti, antaranya dengan penubuhan Institut Integriti Malaysia (IIM), menubuhkan suruhanjaya diraja bagi penambahbaikan perjalanan dan pengurusan polis dan lain-lain lagi.

Namun demikian, menjelang PRU ke-12 pada 2008, kerajaan gagal memenuhi harapan tinggi rakyat dan mereka merasakan kata tidak di kota menyebabkan penolakan rakyat menjadi ketara.

Pada PRU14, BN terus mencatat kemeruduman prestasi ekoran kegagalan kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak mengangkat integriti pentadbirannya sehingga ditolak oleh rakyat.

Terbukti apabila kerajaan BN menjadi semakin tidak popular dengan hanya meraih 46% undi popular dalam PRU13.

Ini menandakan rakyat sudah tidak meyakini BN sebagai sebuah parti serta kerajaan yang mempunyai integriti yang tinggi.

Ia bertitik tolak dari sikap acuh tidak acuh Perdana Menteri dalam menangani rasuah.

Rakyat merasa sangsi dengan tindakan Perdana Menteri mengheret ‘jerung-jerung besar’ yang dikaitkan dengan rasuah dan penyelewengan, termasuk dirinya sendiri.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, siapakah nama besar yang mempunyai profil tinggi negara yang berjaya diheret oleh PM kerana pelbagai dakwaan rasuah?

PM hanya bertindak terhadap pemimpin bawahannya yang bermasalah apabila ada pendedahan sensasi oleh individu  tertentu. Itupun pada pemimpin yang benar-benar bermasalah kepada politik PM, kerana selebihnya ramai lagi  pemimpin kanan yang mempunyai fail bertimbun namun disimpan malah diangkat menjadi menteri kabinet serta orang kepercayaan beliau.

PM juga telah gagal meletakkan kepercayaan rakyat terhadap tahap integriti jabatan kerajaan seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dan lain-lain lagi sehingga menjadi bahan cemuhan rakyat.

Apakah namanya integriti sekiranya setiap tindakan jabatan tersebut dipertikaikan kerana bersifat berat sebelah, tidak adil serta hanya menurut telunjuk pemimpin tertentu?

Justeru, bagi DPPM, untuk kembalikan sokongan dan kepercayaan rakyat, kerajaan perlu kembali menghayati semangat dari titah ucapan Dr Raja Nazrin iaitu kembalikan integriti pada kerajaan serta pemimpin yang diangkat.

Setiap pemimpin perlu bersih dan dilihat bersih dari sebarang dakwaan rasuah. PM tidak perlu menunggu pendedahan demi pendedahan kerana ia membuktikan kelemahannya mentadbir.

Selain itu, jabatan-jabatan penting kerajaan perlu ‘dipulihkan’ dari kongkongan politik dengan menjadikan kesemua agensi kerajaan memiliki tahap integriti dan profesionalisme yang tinggi.

Titah ucapan Dr Raja Nazri memberi makna kepemimpinan Perdana Menteri perlu berubah dengan segera. Bukan sekadar menyelamatkan masa depan BN, lebih dari itu, masa depan rakyat dan negara akan terletak kepada sikap PM.

Negara akan musnah sekiranya perkara besar seperti integriti diabaikan dan diletakkan di sisi.

Tiada ulasan: