SPECIAL ADS

12 Mei 2013

Jika tsunami Melayu?


12 Mei : PARA pemimpin Barisan Nasional mengeluh mengenai tsunami Cina. Sedangkan tsunami Cina tetap membolehkan mereka terus berkuasa. Tetapi bayangkan apabila berlaku tsunami Melayu.

Dengan tsunami Melayu, Barisan Nasional akan kehilangan kuasa. Untuk lebih muktamad lagi, jika berlaku tsunami Melayu, campur Iban, campur Kadazan, barulah benar-benar "Ini kalilah".

Pada tahun 2008, apa yang berlaku ialah tsunami India. Pada tahun 2013, tsunami Cina, kalaulah itu yang hendak ditafsirkan oleh Barisan Nasional. Pada pilihan raya ke-14, apa yang berlaku ialah tsunami Bumiputera: Melayu, Iban dan Kadazan, serta lain-lain.

Sebenarnya bukan soal tsunami politik, tetapi sistem Barisan Nasional sudah bobrok. Ia perlu digantikan dengan baru. Sebagai negara demokrasi berbilang parti, sistem pemerintahan akan membersihkan diri daripada parti bobrok, walaupun ia memakan masa, tetapi akhirnya akan berlaku.

Barisan Nasional bermula sebagai sistem yang baik dengan tonggak kerajaan campuran Perikatan-PAS dan Perikatan-Gerakan. Pada mulanya ia adalah kerajaan campuran parti setaraf tetapi akhirnya Umno mendominasi.

Kini, tanpa adanya PAS dan Gerakan amat lemah, Barisan Nasional sudah tidak ada makna. Ia hanyalah Umno. Itupun sebenarnya Umno Baru, yang kembali menjadi Umno kerana Parti Semangat 46 hilang semangat Umno tahun 1946-nya.

Mungkin semasa Tun Razak Hussein mempelawa semua parti-parti politik menyertai Barisan Nasional, ia merupakan pelawaan jujur bagi kepentingan negara setelah sistem lama Perikatan menemui jalan buntu.
Tetapi setelah ketiadaan Tun Razak, Umno menyokong pemberontak dalam PAS, yang membawa kepada penubuhan Berjasa. Akhirnya Umno yang menguasai Kelantan dengan Berjasa menggantikan PAS dalam sistem Barisan Nasional.

Umno sentiasa mahu dominan dan berpandangan bahawa pihak lain patut tunduk padanya. Sedangkan hakikatnya ialah semua pihak mahu dominan. Tetapi tentulah mustahil untuk semua dominan. Maka sistem demokrasi memberi ruang kepada pemuafakatan setaraf.

Sistem inilah yang diamalkan oleh Pakatan Rakyat. Ia merupakan pembaharuan yang cuba diperkenalkan kepada rakyat. Tentulah tidak dapat diketahui sistem ini boleh berjalan dengan baik atau tidak, tetapi apa yang diamalkan oleh Barisan Nasional sudah bobrok.

Sememanglah untuk bercakap politik dengan melihat dari sudut pandang kaum adalah suatu yang tidak wajar seperti yang dilakukan oleh Barisan Nasional berhubung kenyataan tsunami Cinanya.

Tetapi dalam sejarah abad ke-20, kesedaran politik rakyat India, China dan Indonesia mendahului Melayu. Ketika Mahatma Gandhi dan Chandra Bose sudah mula memperjuangkan kemerdekaannya, Melayu masih selesa hidup dalam penjajahan Inggeris.

Ketika Sun Yat-sen bangkit menentang Dinasti Ching dan penjajahan Jepun, orang Melayu terus bertani dan menjadi nelayan.

Chandra Bose ada datang ke Singapura, Sun Yat-sen juga singgah di Pulau Pinang. Kongres India dan Kuomintang ditubuhkan di Malaya, di kalangan Melayu pula yang ada hanyalah kumpulan kecil bernama Kesatuan Melayu Muda, itupun hanya terpengaruh pada perjuangan kemerdekaan Indonesia.

Tetapi apabila Melayu sedar, mereka mengubah nasib mereka. Kesedaran Melayu bukan bermula daripada Umno tetapi adalah dari Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).

Yang menggubal Perlembagaan Rakyat tanpa bantuan British adalah orang Melayu. Pusat Tenaga Rakyat (Putera) menggubal perlembagaan rakyat. Antara tokoh penggubalnya ialah A Samad Ismail, ketua Gerakan Rakyat Muda (Geram) yang menjadi anggota Putera.

Daripada Perlembagaan Rakyat ke Pakatan Rakyat, perjuangan ini adalah pimpinan Melayu untuk mewujudkan sebuah negara yang lebih bermakna daripada apa yang telah dilaksanakan oleh Umno dan Barisan Nasional.
Gagasan Barisan Nasional dengan meletakkan Dasar Ekonomi Baru sebagai tonggak telah banyak berubah mengikut peredaran zaman, dari Hussein Onn, Dr Mahathir Mohamad, Abdullah Ahmad Badawi dan kini Najib Razak.

Tetapi walaupun berlaku perubahan dengan terasnya jelas tetapi gagasan itu sudah tidak dapat diterima oleh lebih separuh daripada para pengundi.

Barisan Nasional perlu berubah untuk memenuhi kenyataan politik yang berbeza, tetapi ada juga kemungkinan bahawa akhirnya gagasan sudah tidak dapat diterima oleh generasi mendatang.

Apa yang mungkin sedang berlaku ialah peralihan generasi. Sokongan yang diterima oleh Barisan Nasional itu mungkin berbentuk saki-baki, dan ayunan yang silih berganti itu juga akan berkahir dengan generasi muda menolak terus cara fikir lama.

Apakah cara fikir lama? Iaitu pemikiran perkauman dengan setiap parti menurut kaum masing-masing memelihara kepentingan sendiri. Tetapi generasi baru walaupuun menghormati dan mengiktiraf perbezaan kaum tidak melihat politik dari sudut kaum.

Sebab itu, bukan saja Barisan Nasional patut berubah, parti komponen Pakatan Rakyat juga mesti dan sedang berubah untuk menampung realiti baru yang amat berbeza ini.

Dari ketiga-tiga parti ini, pemikiran asas paling ke depan sebenarnya ialah DAP, tetapi sejarah telah menyebabkannya tersangkut dengan politik perkauman juga. Begitu juga dengan PAS. Tetapi PAS telah dan sedang berubah. Keadilan pula dari mula telah menampakkan politik cara baru ini. Cumanya, dari pelaksanaannya mereka tersangkut.

Namun secara keseluruhannya, Pakatan Rakyat lebih bersedia menawarkan cara fikir baru politik untuk generasi baru berbanding Barisan Nasional. Akhirnya bukan tsunami Cina atau Melayu, hanya rakyat Malaysia yang mahukan kehidupan negara yang berbeza.

Oleh ABU FIRDAUS

Tiada ulasan: