SPECIAL ADS

11 Mei 2013

PRU13 : Dakwat Kekal Punca Penipuan


11 MEI — PRU13 yang penuh kontroversi itu telah berlalu. Pakatan Rakyat telah menolak keputusan PRU13 kerana ia didakwa penuh dengan penipuan dan penyelewengan. Manakala Bersih 2.0 serta beberapa NGO seperti Pertubuhan Ikram Malaysia telah mempersoal kesahihan keputusannya kerana sebab yang sama. Bersih 2.0 telah menubuhkan Tribunal Rakyat bagi melakukan penyiasatan terhadap penipuan dan penyelewengan ini.

Isu pilihanraya tidak adil dan tidak bebas bukanlah perkara baru. Senarai pemilih yang tidak bersih, media massa yang disalahguna oleh pemerintah, penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan sementara, adalah antara perkara yang telah berlaku pada setiap pilihanraya dan berterusan dalam PRU13 yang lepas. Sebahagian besar perkara ini terkandung dalam lapan perkara yang dituntut oleh Bersih 2.0.


Salah satu tuntutan Bersih 2.0 adalah penggunaan dakwat kekal. Tujuan penggunaan dakwat kekal adalah bagi menghalang seorang pengundi mengundi lebih dari sekali. Pengundi berganda ini boleh berlaku dalam beberapa bentuk, antaranya:


1. Pengundi pos dan pengundi awal yang mengundi sekali lagi pada hari mengundi kerana nama mereka juga terdapat dalam senarai utama pengundi.


2. Pengundi pos dan pengundi awal yang mengundi sekali lagi menggunakan kad pengenalan orang lain atau kad pengenalan palsu, samada semasa pengundian awal atau hari mengundi biasa.


3. Pengundi biasa yang mengundi beberapa kali (kemungkinan di pusat mengundi berlainan) pada hari mengundi menggunakan kad pengenalan orang lain atau kad pengenalan palsu.


Untuk menyelesaikan perkara ini, Bersih 2.0 dan rakyat jelata telah menuntut agar dibersihkan senarai pengundi serta digunakan dakwat kekal. Malah Jawatankuasa Khas Parlimen (Penambahbaikan Pilihanraya) juga telah mengesyorkan penggunaan dakwat kekal dan telah dipersetujui oleh Parlimen dan SPR.

.
Yang menjadi persoalan besar sekarang ini adalah kenapakah penggunaan dakwat kekal ini tidak dilaksanakan dengan baik oleh SPR?


Saya mengatakan bahawa SPR tidak melaksanakan syor ini dengan baik kerana matlamatnya tidak tercapai. Tidak ada maknanya mencalit dakwat tersebut jika ia tidak kekal.

Alasan yang diberikan oleh SPR juga berbelit-belit dan tidak konsisten. Pada mulanya disebut kerana ia tidak digoncang. Namun setelah digoncang pada hari mengundi pun, dakwat itu masih tidak kekal. SPR juga pada mulanya memberi jaminan bahawa dakwat kekal itu boleh bertahan selama tujuh hari, namun para pengundi dapat membersih jari mereka dengan hanya mencucui menggunakan sabun pembasuh pinggan biasa sebaik sahaja selepas mengundi. Permohonan Bersih 2.0 agar SPR mengadakan demonstrasi penggunaan dakwat kekal kepada orang awam juga tidak dihiraukan oleh SPR.


Sebenarnya tidak ada alasan yang boleh diterima atas kegagalan penggunaan dakwat kekal melainkan kerana terdapat muslihat di sebaliknya. Penggunaan ini telah berjaya dilaksanakan di merata tempat di dunia seperti di India, Indonesia dan Mesir.


Tidak dapat tidak rakyat akan menanggapi bahawa SPR memang sengaja tidak mahu melaksanakan dakwat kekal kerana di sana terdapat tipu muslihat yang besar bagi memenangkan BN. Sangkaan rakyat bahawa selama ini BN banyak mendapat kemenangan kerana pengundian lebih daripada sekali oleh penyokong BN. Ini ditambah pula dengan senarai pengundi yang tidak bersih yang juga dielakkan oleh SPR untuk bersungguh-sungguh membersihkannya.


Oleh kerana itu lah, ada pandangan yang mengatakan bahawa isu pengundi hantu yang sebenar bukanlahlah sangat isu pengundi pendatang Bangladesh, Myanmar atau Indonesia. Sebaliknya itu cuma usaha untuk memesongkan (divert) perhatian penyokong Pakatan Rakyat daripada perkara yang lebih besar iaitu pengundi hantu dalam kategori yang mengundi lebih dari sekali khususnya daripada pengundi pos dan pengundi awal.
Sangkaan ini tentulah mempunyai asas yang kuat dan sebab itulah SPR liat untuk melaksanakan penggunaan dakwat kekal dalam PRU 13!


Malah kita boleh katakan bahawa kegagalan dakwat kekal untuk berfungsi dalam PRU 13, itu pun sudah boleh dijadikan alasan yang kukuh untuk kita menolak keputusan PRU 13!


Oleh: Nahar Md.Nor

Tiada ulasan: