GEORGETOWN: Penduduk Malaysia tidak menikmati tidur yang cukup setiap hari apabila hanya mendapat 6.4 jam berbanding lapan jam yang disarankan.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), SM Mohamed Idris berkata, kekurangan 1.6 jam masa tidur boleh menjejaskan tahap kesihatan mereka akibat leka dengan peralatan telefon bimbit dan menghabiskan masa secara online.
Beliau berkata, tinjauan menunjukkan, ketagihan internet adalah ancaman terbaharu kepada kehidupan.
“Sungguhpun penggunaan Internet di Malaysia tidak tinggi berbanding sesetengah pasaran di rantau ini tetapi 73 peratus orang dewasa Malaysia ditemubual bersetuju aktiviti online dan rangkaian sosial membuat mereka ketagihan,” katanya, lapor Sinahr Harian.
Menurutnya, kira-kira 80 peratus daripada mereka melihat amalan menghabiskan masa secara online menjadi penghalang bagi kebanyakan orang dewasa mendapat tidur secukupnya.
Beliau berkata, trend ketagihan itu akan diwarisi oleh kanak-kanak yang membesar bersama internet sebagai bahagian penting dalam kehidupan mereka.
Kajian itu menunjukkan, kekurangan tidur yang kronik bukan sahaja menyebabkan prestasi buruk dan produktiviti menurun tetapi memberi kesan terhadap kesihatan.
“Corak tidur yang buruk membuatkan seseorang itu berisiko mengalami masalah kesihatan serius seperti obesiti, penyakit jantung dan diabetes yang boleh memendekkan jangka hayat.
“Antara kemungkinan kesan tidak cukup tidur ialah lapar diikuti berat badan bertambah, fungsi imun menurun, kawalan glukosa yang kurang baik (menyumbang kepada perkembangan diabetes), tekanan darah naik dan peningkatan kes jantung,” katanya.
Mohamed berkata, mereka yang mengantuk juga menjadi perengus, mudah meradang dan tidak mampu memberi tumpuan hingga menimbulkan masalah sosial di samping kemungkinan berlaku kemalangan sama ada di tempat kerja atau ketika memandu.
Menurutnya, individu yang mendapat tidur cukup boleh mengurangkan pemikiran negatif dan perasaan runsing.
“Penemuan menunjukkan pemikiran negatif berulang-ulang ada kaitan dengan gangguan ketika tidur. Pasukan penyelidik menyarankan mereka yang berisiko mengembangkan gangguan kesihatan mental mengambil masa untuk tidur.
“Kesedaran mengenai kesan kurang tidur dalam kalangan penduduk Malaysia masih rendah, dengan hanya 35 peratus menyatakan ia menjejaskan prestasi mereka manakala 42 peratus bersetuju ia memberi kesan kepada kesihatan fizikal,” katanya. FMT
Tiada ulasan:
Catat Ulasan