SPECIAL ADS

16 Februari 2015

Siapa ketua pembangkang baharu sekarang?

Peluang Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali yang juga merupakan timbalan presiden PKR cerah untuk menjadi ketua pembangkang kerana pengaruh besarnya dalam parti. – Gambar fail The Malaysian Insider, 17 Februari, 2015.
Dengan perbalahan secara terbuka di antara PAS dan DAP, kemungkinan besar ketua pembangkang yang baharu akan tetap datang daripada parti Anwar, kata sumber PKR walaupun DAP mempunyai kerusi terbanyak dalam Dewan Rakyat berbanding parti PR lain.
Kerusi Parlimen Permatang Pauh yang disandang Anwar juga akan kosong tidak lama lagi selepas ketua umum PKR itu dipenjarakan selama lima tahun kerana didakwa meliwat.
Petunjuk utama tentang siapa yang bakal menjadi ketua pembangkang baharu akan dapat dilihat selepas PR menetapkan calon mereka di Permatang Pauh dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang bakal diadakan.
Sumber PR mengatakan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali mempunyai peluang untuk menjadi ketua pembangkang sekiranya calon lebih muda dipilih PKR untuk Permatang Pauh kerana pemimpin yang kuat diperlukan untuk memimpin gabungan bermasalah itu.
Di antara nama calon lebih muda yang dilihat berpotensi untuk kerusi Permatang Pauh ialah bekas Ahli Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusof dan Exco Pulau Pinang Dr Afif Bahardin.
Spekulasi juga timbul kemungkinan anak kedua Anwar, Nurul Nuha dipertimbangkan menjadi calon melihat bagaimana beliau terpilih mengetuai kempen membebaskan ayahnya “March 2 Freedom.”
Jika Nurul Nuha menjadi calon Permatang Pauh, peluang Azmin yang juga merupakan timbalan presiden PKR cerah untuk menjadi ketua pembangkang kerana pengaruh besarnya dalam parti.
“Jika Nurul Nuha menjadi ahli Parlimen Permatang Pauh, sudah hampir pasti Azmin yang akan dilantik sebagai ketua pembangkang kerana Nurul Nuha tidak ada apa-apa jawatan dalam parti,” kata sumber itu kepada The Malaysian Insider.
Sebagai menteri besar dan ahli Parlimen Gombak, Azmin berpengalaman dan ini menyebabkan beliau mempunyai kelayakan automatik untuk jawatan itu.
Logik yang sama juga digunapakai sekiranya Yusmadi atau Dr Afif terpilih memandangkan kedua-dua masih muda lagi.
Jawatan ketua pembangkang dilihat sebagai pemimpin “de facto” bagi PR walaupun gabungan itu tidak mempunyai jawatan sedemikian seperti Barisan Nasional (BN) yang mana Datuk Seri Najib Razak merupakan pengerusinya.
Sebab itu PR memerlukan pemimpin yang kanan dan kuat untuk menyatukan gabungan pelbagai ideologi – dengan parti Islam PAS kepada parti sekular DAP.
“Ketua pembangkang bererti ketua kepada PR. Sebab itu jawatan ini sangat penting,” kata sumber itu.
Terdapat nama lain untuk kerusi Permatang Pauh termasuk isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan bekas Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail.
Dr Wan Azizah mempunyai pengalaman sebagai ketua pembangkang dan pernah menjadi ahli Parlimen Permatang Pauh dari 1999 hingga 2008.
Bagaimanapun, Dr Wan Azizah dikatakan keberatan untuk bertanding lagi memandangkan beliau pada masa sama merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang.
Dan kemungkinan untuk presiden PKR itu menjadi ketua pembangkang sukar kerana PAS mungkin tidak bersetuju.
Semasa kemelut menteri besar Selangor, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengatakan Dr Wan Azizah tidak layak untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan di antara sebabnya ialah tidak pandai berhujah dalam Dewan Undangan Negeri.
Saifuddin yang kini pengarah pilihan raya PKR dikatakan calon yang baik untuk Permatang Pauh berdasarkan pengalamannya dalam parti dan kerana diterima baik PAS dan DAP.
Beliau juga dianggap sebagai anak tempatan kerana kerusi Kulim Bandar Baru yang ditandinginya dalam pilihan raya umum lalu.
“Kerusi Kulim Bandar Baru sebelah Permatang Pauh. Saifuddin juga diterima DAP dan PAS,” kata sumber PR itu. TMI

Tiada ulasan: