Benar 1MDB akhirnya melunaskan hutangnya sebanyak RM2 bilion kepada konsortium perbankan yang diketuai Maybank Berhad dan RHB Bank Berhad pada 13 Februari lalu. Hutang itu hampir diisytiharkan sebagai ‘hutang tak berbayar’ atau NPL andainya sekali lagi 1MDB ‘defaulted’ atau culas membuat bayaran.
Persoalan yang masih jadi tanda tanya pelbagai pihak ialah siapa yang membayarnya? Lebih menekankan lagi ialah apakah 1MDB mampu membayar hutang-hutangnya selepas ini? 1MDB tidak akan lagi diberi pinjaman oleh institusi perbankan mengikut penegasan bank kerana risiko ‘default’ yang terlalu tinggi.
Membayar hutang bon sebanyak RM2 bilion itu, tidak meletakkan 1MDB keluar daripada kemelut, sebab hutang korporatnya hampir RM42 bilion. Ansuran bayaran faedah dan kupon bon setiap tahun sebanyak RM2.31 bilion, sementara aliran tunai 1MDB adalah dalam negatif RM2.25 bilion mengikut laporan kewangan yang berakhir 31 Mac, 2014.
Aset daripada Penjana Tenaga Bebas yang mereka peroleh tidak cukup untuk menjana aliran tunai, seperti yang dijangka pelbagai pihak kerana membuat perolehan dengan harga yang terlalu mahal. 1MDB minggu lalu juga mengakui mungkin terpaksa menjual asetnya.
Meskipun diberitakan jutawan Tan Sri Ananda Krishnan membuat suntikan sebanyak RM2 bilion, berita tersebut dinafikan Arul Anand Kandasamy, pengerusi 1MDB. Perkara tersebut tidak dapat disahkan kerana Arul enggan membuat penjelasan bahkan menafikan berita tersebut sebagai khabar angin.
Arul juga menggunakan hak ‘kerahsiaan’ atau ‘confidentiality’ akan segala urusan kewangan 1MDB seperti amalan lazim yang berkuat kuasa ke atas semua entiti korporat, khasnya yang punya perjanjian ‘NDA’ atau Non-Disclosure Agreement’ dengan institusi kewangan atau bank.
Ada sumber dalaman menyebut 1MDB memerlukan suntikan tunai RM3 bilion daripada Kementerian Kewangan (MOF) dan mungkin MOF tidak punya banyak pilihan kecuali untuk menyelamatkan 1MDB. Mengikut sumber pasaran kewangan, kerajaan menerbitkan dua kertas perbendaharaan (treasury bills) pada jumlah yang besar (RM2.1bilion) dalam waktu terdekat (11 dan 12 hb Feb).
Pada 2 Februari lalu Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli mendedahkan tentang satu lagi hutang 1MDB kepada satu konsortium bank yang diketuai Deutsche Bank. Hutang tersebut sebanyak RM3.6 bilion perlu dibayar menjelang September 2015 ini.
Pengambilan hutang ini disandarkan kepada dana yang bakal diperoleh daripada pasaran saham apabila penyenaraian anak-anak syarikat tenaga bebas 1MDB dilakukan. Dengan terbatalnya cadangan itu, 1MDB sekali lagi berdepan kemelut hutang. 1MDB tidak lagi mampu ‘mengorek lubang baru bagi menutup lubang lama’.
Wajarkah 1MDB terus-terusan berselindung di sebalik ‘NDA’ yang kononnya mereka perlu hormati. Dapatkah kepentingan awam atau wang rakyat dijamin ketika jelasnya ia digunakan untuk ‘menyelamatkan’ atau ‘bail out’ 1MDB? Pelbagai persoalan tentang tadbir urus pelaburannya (seperti Petro-Saudi dan di Cayman Island) yang penuh kontroversi dan kadang kala misteri, masih tidak terjawab sejak penubuhannya 5 tahun lalu.
Sebagai sebuah badan pelaburan yang kaitan kerajaan, 1MDB tidak wajar dan layak memberi alasan ‘NDA’ untuk kekal dalam kerahsiaan sebegini memandangkan hutang 1MDB kini juga dikatakan membawa satu risiko ke atas ‘penarafan negara’ atau ‘Sovereign Rating’ oleh badan-badan seperti Fitch Rating dan juga Moody, seandainya kedudukan hutang 1MDB membawa beban kepada kerajaan Persekutuan, yang terbeban dengan hutang ke paras 53.8% KDNK.
Sekali lagi saya ulangi Datuk Seri Najib Razak selaku menteri kewangan dan juga selaku pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB mesti mengambil tanggungjawab sepenuhnya kepada Parlimen dan rakyat seluruhnya.
Segala usaha untuk meredakan kekhuatiran rakyat tentang keseriusan kedudukan kewangan 1MDB gagal dan kemelut mutakhir ini tidak lagi dapat ditangani Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC). Tahap keresahan dan kemarahan rakyat sudah ke kemuncaknya.
Risiko terhadap penarafan negara, kesan terhadap nilai ringgit, risiko sistem kepada institusi perbankan, seandainya gagal lagi membayar hutang-hutangnya, bahkan risiko terhadap kewangan negara, seluruhnya meletakkan 1MDB sebagai satu ‘Time Bomb’ atau ‘Bom Jangka’.
Najib wajib bertindak untuk menubuhkan segera sebuah Suruhanjaya Diraja yang terdiri daripada pakar kewangan, juruaudit bebas dan pakar undang-undang korporat, bagi melakukan satu ‘audit forensik’, serta menggali masalah sebenar dan mencadangkan penyelesaian secara konkrit dan tuntas.
Seandainya gagal dilakukan segera, maka wajib Najib untuk meletakkan jawatan selaku pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB dan menteri kewangan (seperti juga yang dicadangkan Rafizi yang terkini).
Dr Dzulkefly Ahmad
Tiada ulasan:
Catat Ulasan