SPECIAL ADS

13 Februari 2015

Perginya seorang murabbi

Nik Abdul Aziz Nik Mat_new_300
Nik Aziz sentiasa dikenali sebagai seorang Menteri Besar yang paling zuhud dan warak, sentiasa dilihat dalam keadaan berjubah dan berserban.
Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilahirkan pada hari Sabtu 10 Januari 1931 di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu beliau merupakan anak kedua daripada lima orang adik beradik.
Beliau aktif dalam bidang agama serta mendalami Ilmu Tafsir Al-quran di Lahore Pakistan pada tahun 1957, dan mendapat kelulusan Sarjana Muda bahasa Arab serta Sarjana Perundangan Islam dari Universiti Al-Azhar Mesir. Latar belakang berpendidikan di luar negara bukan sahaja membolehkan beliau berbahasa Melayu malah fasih dalam bahasa Inggeris, Urdu, Tamil dan Arab.
Sebelum menceburi bidang poitik pada 1967, Nik Aziz pernah berkhidmat sebagai seorang guru di sekolah agama, antara Sekolah Agama Darul Anwar dan Sekolah Menengah Maahad Muhammadi yang kesemuanya di Kelantan.
Hasil perkongsian hidup dengan isterinya, Tuan Sabariah binti Tuan Ishak, beliau dikurniakan 10 orang cahaya mata (5 lelaki dan 5 perempuan).
Pada tahun 1967, beliau telah mendaftar sebagai ahli PAS, menjadi Ahli Parlimen Pengkalan Chepa dan menyandang jawatan Menteri Besar Kelantan bermula 1990 sehingga 2013.
Nik Aziz sentiasa dikenali sebagai seorang Menteri Besar yang paling zuhud dan warak. Pada hampir setiap masa, beliau sentiasa dilihat dalam keadaan berjubah dan berserban. Beliau mengaku bersolat dalam keadaan gelap apabila berada di dalam pejabatnya kerana tidak mahu menggunakan duit kerajaan untuk kepentingan dirinya.
Rumahnya pula hanyalah sebuah rumah kampung biasa seperti yang dimiliki oleh rakyat kebanyakan. Rumahnya tidak berpagar sama sekali dan tiada pengawal keselamatan yang diupah untuk menjaganya.
Sewaktu beliau masih hidup, hampir setiap pagi, beliau akan menjadi imam solat Subuh dan kemudiannya memberikan kuliah ringkas di sebuah masjid yang terletak beberapa langkah sahaja dari rumahnya.
Selepas tidak lagi memegang jawatan Menteri Besar, beliau masih lagi aktif dalam politik dan kali terakhir pernah membantu calon PAS, Wan Rosdi wan Ibrahim semasa pilihan raya kecil Pengkalan Kubor pada September tahun lalu, walaupun semakin uzur keika itu. Ia membuktikan semangat juang politik dalam dirinya yang sangat tinggi.
Sejak itu, saban hari kesihatan Nik Aziz semakin memburuk dan terpaksa keluar masuk hospital.
Pada 20 Januari 2015, Nik Aziz dimasukan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) berikutan masalah kesihatan yang dialaminya bertambah buruk.
Namun pada 12 Februari, tepat Jam 9.40 malam, dengan izin Allah, para malaikat datang menyempurnakan tugas mengiringi roh Nik Aziz menuju penciptanya.
Semoga Nik Aziz berbahagia di sisi Allah, AL-FATIHAH!

Tiada ulasan: