PETALING JAYA: Golongan kaki bodek sudah tidak relevan lagi di dalam UMNO, rakyat pun menyampah dengan pemimpin berminda lemah, kata Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.
“Jangan nak serbu secara membabi buta…nanti buruk padahnya,” tegas beliau berhubung amaran Ketua UMNO Bahagian Ampang Dato Ismail Kijo berkaitan kemelut 1Malaysia Development Berhad (1MDB). (Sila rujuk http://m.utusan.com.my/berita/politik/ketua-UMNO-bahagian-ikrar-patahkan-cubaan-sabotaj- 1.57176)
Beliau menyifatkan Ismail sebagai seorang yang, “lemah minda serta bangang” seterusnya mengingatkan,”Kalau nak mengampu pun berpada-padalah…”
Khairuddin yang menjelaskan bahawa segala tindakannya tidak pernah dipengaruhi mana mana pihak, menegaskan bahawa perjuangannya adalah untuk menegakkan kebenaran semata-mata demi menyelamatkan wang kerajaan yang juga wang rakyat.
Sebagai pembayar cukai dan rakyat yang bertanggungjawab, tambah beliau, kita mesti tentang segala bentuk kemungkaran di negara ini jika mahukan UMNO dan Barisan Nasional (BN) terus relevan di sanubari rakyat.
“Apa yang Ismail Kijo tahu pasal 1MDB? Datuk Ismail Kijo yang tidak tahu menahu isu 1MDB disarankan duduk diam-diam saja!
“Kaki bodek yang tidak mempunyai fakta macam ni jangan masuk campur. Isu 1MDB tidak ada kena mengena dengan UMNO dan ianya bukan syarikat milik UMNO,” tegas beliau lagi.
Beliau yang bertanyakan jika Ismail faham mengenai asas pertikaian dalam 1MDB itu berkata bahawa dalam laporan polis serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), beliau mohon pihak berkuasa menyiasat ketelusan pentadbiran serta perbelanjaan dana dan kewangan 1MDB.
Khairuddin seterus berkata, pembohongan dilakukan oleh 1MDB dari semasa ke semasa termasuk pada 13 Januari lalu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB menyatakan bahawa mereka telah membawa pulang RM8.3bilion yang dilaburkan di Kepulauan Cayman. Namun, kemudiannya mengatakan untuk tidak membawa pulang wang tersebut pula.
Beliau berkata, 1MDB tidak boleh terus-terusan menyangka mereka boleh memperbodohkan rakyat dengan kenyataan-kenyataan tidak bertanggungjawab umpamanya, mengatakan kedudukan kewangan 1MDB kukuh sedangkan sudah tiga kali mereka menunda dan gagal membayar hutang Maybank dan RHB Capital Bhd.
Malah, beliau menegaskan bahawa kenyataan Arul Kanda Kandasamy pada 13 Januari itu berunsur fitnah dan tipu secara jelas kepada keseluruhan rakyat di negara ini.
”Kemungkinan kerana Ismail Kijo yang minda lemah ini tidak faham persoalan yang saya tujukan kepada1MDB… kenapa CEO 1MDB yang baru ini cakap berbelit-belit untuk mengelirukan rakyat!” soalnya.
Khairuddin juga mempersoalkan kenyataan Pengerusi 1MDB, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin bahawa syarikat itu tiada kaitan dengan kerajaan ataupun rakyat, sedangkan hakikatnya ia dimilki Kementerian Kewangan secara seratus peratus, malah modal berbayar RM1juta dibuat Kementetian Kewangan, hutang kira-kira RM5bilion juga dijamin kerajaan.
Beliau berkata, kemungkinan Ismail tidak mampu menganalisis serta membuat andaian waras terhadap ketidak telusan pentadbiran serta perbelanjaan dana 1MDB
“Banyak lagi fakta fakta lain yang boleh diajukan tetapi mampukah Ismail Kijo menjawabnya,” soalnya.
Justeru itu, beliau yang meminta supaya Ismail menyimpan saja amarannya di dalam kocek berkata, “Kaki bodek macam ni dah tidak laku lagi walaupun di dalam UMNO. Kita mesti berani bercakap benda yang benar untuk menjaga kepentingan rakyat tanpa memilih bulu.”
Khairuddin juga mengingatkan supaya Ismail tidak masuk campur dalam perkara yang beliau tidak tahu dan menumpukan perhatian melaksanakan tanggungjawab serta memikirkan cara untuk menawan semula Negeri Selangor untuk UMNO dan BN.
“Jangan jadi badut nak tunjuk pandai dalam isu 1MDB!, Jangan cuba nak perbodohkan rakyat senantiasa!” katanya.
Beliau yang menegaskan bahawa UMNO adalah parti terbaik untuk menjaga kepentingan bangsa, agama dan tanah air tidak menafikan bahawa, kita bukan maksum yang tidak pernah terlepas dari melakukan kesilapan.
“Proses tegur menegur yang membina amat diperlukan di dalam UMNO agar perjuangan kita tidak tersasar dari landasan yang sebenarnya demi menjamin survival UMNO di tanahair kita,” ujarnya. FMT
Tiada ulasan:
Catat Ulasan