SPECIAL ADS

27 Februari 2015

Mampukah siasatan audit negara beri impak sebenar kepada 1MDB?

Penelitian terhadap dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) semakin rapi apabila pertama kali Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) meminta Ketua Audit Negara menjalankan audit terhadap syarikat yang mendapat sokongan kerajaan itu yang kini menanggung hutang, tetapi wakil rakyat pembangkang mempersoalkan sama ada pihak yang menyebabkan syarikat itu berhutang akan dipertanggungjawabkan.
Walaupun mengalu-alukan tindakan siasatan itu, apa yang terbaik dapat rakyat harapkan daripada siasatan rasmi terhadap 1MDB itu ialah syarikat itu tidak menyusahkan negara dengan hutang lagi, kata wakil rakyat PKR Rafizi Ramli.
Berdasarkan kepada trend sebelum ini, tindakan audit negara yang mendedahkan pembaziran, ketirisan dan prosedur diragui dalam badan kerajaan menyebabkan kemarahan rakyat, tetapi hanya sedikit tindakan punitif dan pemulihan diambil.
Dalam satu kenyataan PAC semalam berkata ia juga akan melancarkan siasatan terhadap 1MDB, selepas Ketua Audit menjalankan audit terhadap syarikat bermasalah itu.
Tetapi persoalannya ialah sejauh mana keberkesanan PAC dalam mengendalikan masalah 1MDB memandangkan siasatannya terdahulu tidak menyaksikan pihak yang bertanggungjawab dihukum.
Sebelum ini, siasatan PAC dalam projek berkepentingan awam atau syarikat berkaitan kerajaan mendedahkan bukti menunjukkan salah pengurusan dana kerajaan dan infrastruktur bangunan yang tidak bermutu.
Tetapi siasatan PAC dalam kes seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (Klia2) dan insinerator XCN Technology belum setara dengan tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab.
Rafizi, yang juga ahli Parlimen Pandan berkata, beliau percaya siasatan PAC terhadap 1MDB akan beri hasil hampir sama tetapi, siasatan itu masih tetap penting dilaksanakan.
“Sasaran kami ialah mencegah dan menghalang kerosakan. Keadaan paling baik ialah pengurusan akan dapat nilai daripada asetnya,” kata Rafizi, bermaksud syarikat itu dapat membayar semula sesetengah pinjamannya, yang berjumlah RM42 bilion.
 “Tetapi ini sukar. Keadaan paling teruk ialah pinjaman itu dihadkan pada RM42 bilion,” katanya menambah duit rakyat akan terpaksa digunakan untuk bayar sebahagian hutang itu.
“Kita terpaksa tanggung akibatnya. Nampaknya, bailout rakyat akan diambil tetapi soalannya ialah berapa banyak,” kata Rafizi ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Sebahagian dana negara dan selebihnya pelaburan 1MDB dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan dan ilham Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang juga mengetuai lembaga pengarah dana itu.
Operasinya yang tidak jelas dan rundingan mencurigakan menarik kritikan daripada wakil rakyat pembangkang dan individu daripada Barisan Nasional seperti bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Laporan terdahulu mengenai 1MDB menunjukkan sekurang-kurangnya RM20 bilion daripada RM42 bilion hutangnya jelas atau secara tersirat dijamin oleh kerajaan.
Jika ada bukti salah pengurusan, siasatan PAC berpotensi menghentikan operasi 1MDB dan memastikan ia tidak membuat hutang lagi.
“Kita perlu terus membangkitkan isu ini di kalangan rakyat, Parlimen dan menerusi PAC. Sekelip mata kita alih pandangan daripada isu ini, mereka akan cari cara kreatif mendapatkan lebih banyak pinjaman,” kata Rafizi.
Pendedahan operasi meragukan 1MDB olehnya dan beberapa wakil rakyat lain seperti Tony Pua daripada DAP, menggoyahkan keyakinan pasaran terhadap syarikat itu, dan PAC mengakui tanggapan negatif terhadap dana itu yang turut menjejaskan imej kerajaan.
PAC semalam meminta Jabatan Audit Negara menyiasat beberapa aspek syarikat itu sebelum jawatankuasa itu memanggil 1MDB.
Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamad berkata jabatan itu kini perlu fokus kepada isu berkenaan:
* sumber RM2 bilion yang digunakan syarikat itu untuk membayar semula beberapa hutangnya kepada bank tempatan.
* suntikan RM3 bilion daripada kerajaan persekutuan untuk menyelesaikan lebih hutang tertunggak dalam tahun itu.
* kegagalan perjanjian pelaburan dalam syarikat Petrosaudi yang didakwa wakil rakyat pembangkang kelihatan seperti helah untuk mengalir keluar AS$700 juta daripada syarikat itu.
* sama ada AS$1.1 bilion yang diletakkan syarikat itu di Pulau Cayman sudah dibawa balik ke Malaysia atau tidak .
* perubahan dalam juruaudit luar.
Ketika dihubungi selepas pengumuman itu, Nur Jazlan berkata jawatankuasa itu akan membuat beberapa syor untuk tindakan punitif jika ia menemui bukti salah pengurusan dalam 1MDB.
“Tetapi kerajaan perlu ambil tindakan. Kita tidak sepatutnya jadi hakim, penyiasat dan pelaksana.
“Kami akan tetap buat syor, sama seperti juruaudit dalam sebuah syarikat. Jika syarikat itu tidak ambil tindakan, maka mereka perlu menjawab kepada pemegang sahamnya,” katanya.
Nur Jazlan berkata keberkesanan PAC memanggil pihak berkenaan juga bergantung pada apa yang diperoleh Jabatan Audit Negara. PAC sekarang lebih agresif terhadap kes penyalahgunaan dana awam. TMI

Tiada ulasan: