SPECIAL ADS

19 Februari 2015

Khairuddin : 1MDB masih gagal jawab soalan asas!

khairul
PETALING JAYA: Apa pun kenyataan Arul Kanda Kandasamy, untuk mengabui serta menyakinkan rakyat; Presiden 1MDB itu masih gagal menjawab persoalan asas yang rakyat ingin tahu!
“Apa dah jadi dengan jumlah keseluruhan wang yang ditebus 1MDB sepertimana kenyataan beliau pada 13 Januari lalu? Di manakah wang tersebut pada masa ini?” Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mengulangi pokok pertanyaan berhubung kemelut 1MDB itu dalam kenyataannya kepada FMT hari ini.
Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan itu berkata, pengumuman kajian strategik 1MDB semalam membuktikan bahawa syarikat tersebut telah mengambil langkah mudah dan jalan pintas dalam menyelesaikan kemelut pentadbiran dan perbelanjaan dananya.
“Pelajar sekolah tingkatan 6 pun kemungkinan tahu untuk mengadaptasikan jalan penyelesaian sebegini rupa,” tegas beliau yang secara langsung membayangkan betapa mudah penyelesaian 1MDB itu.
Malah,beliau berpendapat kenyataan Arul yang juga Pengarah Eksekutif 1MDB itu merupakan kaedah penyelesaian biasa oleh sesebuah syarikat yang tenat.
Khairuddin seterusnya mempersoalkan jika dengan kajian strategik itu, syarikat 1MDB bakal membuktikan bebanan hutangnya harus diselesaikan dengan menjual atau mencari rakan strategik baru bagi membantu 1MDB menanggung segala beban kos pembangunan aset-aset yang dimiliki.
Selain itu, katanya, persoalan lain adalah mengenai kenyataan Arul Kanda bahawa beliau telah meneliti semua dokumen syarikat dan penafiannya bahawa Jho Low ada kaitan langsung 1MDB.
Khairuddin menegaskan bahawa kenyataan beliau semalam mempunyai bukti hitam putih yang hakikatnya Jho Low mempunyai kaitan dengan 1MDB melalui transaksi pembidaan membeli sebuah hotel di London.
sila rujuk di sini: “Free Malaysia Today- Khairuddin: Arul has misled the public again”
“Apakah status sebenar Arul Kanda dengan 1MDB? Apakah Arul Kanda dihantar pulang semata-mata untuk menjaga dan mengawal-selia kepentingan syarikat kewangan dari Abu Dhabi saja?” tanyanya lagi.
Beliau seterusnya menegaskan bahawa Arul Kanda mesti menjawab persoalan-persoalan asas terlebih dahulu bagi menjelaskan kedudukan sebenar 1MDB kepada rakyat negara ini.
Hakikatnya, kata Khairuddin lagi, kenyataan-kenyataan !MDB sentiasa mengelirukan termasuklah kenyataan bahawa kedudukan syarikat itu kukuh sedangkan terpaksa berhutang untuk membayar hutang RM2billion kepada Maybank serta Rhb Capital Bhd.
“Apakah Arul Kanda dibawa pulang dan digajikan 1MDB untuk bercakap bohong dan memutar-belitkan fakta saja?” tanya beliau yang berpendapat Arul Kanda bukan seorang yang bijak.
“Beliau hanya bijak untuk memutar-belitkan fakta dan mengelirukan pandangan rakyat semata-mata. Apa pun keadaannya, saya amat yakin kebenaran pasti muncul dalam sedikit masa lagi,” katanya di akhir kenyataan itu.
Semalam, 1MDB mengumumkan tidak akan membuat hutang baharu untuk membeli dan menambah aset, sebaliknya memberi tumpuan kepada perniagaan semasa serta merumus rancangan meraih hasil penjualan atau usaha sama pembangunan aset sedia ada.
Syarikat pelaburan milik kerajaan itu dilaporkan akan mendapatkan sumber terbaik untuk membiayai semula hutang yang matang, selepas menyelesaikan sepenuhnya hutang sebanyak RM2 bilion kepada beberapa bank tempatan minggu lalu.
Kenyataan tersebut dibuat sempena penyempurnaan program semakan semula strategik yang diputuskan oleh ahli lembaga pengarahnya pada 5 Januari lalu.
Semakan semula strategik itu dikatakan bertujuan menentukan hala tuju bagi membolehkan syarikat melipatgandakan nilai kepada pemegang sahamnya, Kementerian Kewangan dan seterusnya seluruh rakyat Malaysia. FMT

Tiada ulasan: