PUCHONG : Ketua Polis Negara Tan Seri Khalid Abu Bakar perlu menghentikan amarannya kepada rakyat Malaysia yang mempersoalkan motif pembunuhan model Mongolia Altantuya Shaaribuu, kata Ketua Biro Guaman DAP Gobind Singh Deo.
Gobind dalam kenyataanya hari ini menjawab Khalid dan mengingatkanya agar jangan memperbodohkan rakyat Malaysia dengan amaran itu.
“Khalid Abu Bakar tak perlu sibuk beri amaran kepada mereka yang mahukan jawapan misteri pembunuhan Altantuya Sharibuu.
“Semua orang sudah mempersoalkan. Wartawan mempersoalkan. Peguam-peguam mempersoalkan, dan saya sendiri pun mempersoalkan. Kenapa dia nak beri amaran?
“Biar saya beritahu dia. Jangan fikir rakyat bodoh. Jangan cuba beri amaran dan ugut kami,” tegas Ahli Parlimen Puchong itu.
Khalid semalam memberi amaran supaya berhenti mempersoalkan motif pembunuhan Altantuya, kononnya kerana ia sudah diselesaikan di Mahkamah Tinggi.
Khalid terdahulu diminta memberi reaksi kepada aduan peguam Koperal Sirul Azhar yang dijatuhi hukuman mati, bahawa mahkamah tidak melihat kepada motif pembunuhan.
Tegas Gobind, adalah hak rakyat untuk mempersoalkan apa-apa yang menyinggung kepentingan mereka.
KPN dicabar tahan Gobind
Justeru itu, Gobind mengingatkan Khalid menghormati hak warga Malaysia di samping menggesa polis menyiasat punca misteri jenayah berprofil tinggi ini.
“Saya ahli parlimen, tugas saya bertanya. Khalid kena tahu, saya akan terus persoalkan hal ini. Dia sebagai KPN, kena jawab soalan dari rakyat.
“Saya cabar dia keluarkan kenyataan. Adakah polis sudah siasat secara teliti motif pembunuhan Altantuya Shaaribuu? Jika tidak, kenapa?
“Jika ya, adakah polis tahu siapa yang arahkan pembunuhan dan kenapa?
“Jika Khalid tak boleh hadapi tekanan soalan-soalan ini lagi, dan dia fikir dia boleh tangkap saya kerana bertanya, saya cabar dia (tangkap saya).
“Saya akan lawan,” kata Gobind.
roketkini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan