SPECIAL ADS

11 Februari 2015

Najib berjaya kafan dan semadi karier politik Anwar

shah
PETALING JAYA: Bekas Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Shahbudin Husin berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan semalam mengekalkan sabitan salah dan penjara lima tahun terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan satu kejayaan Datuk Seri Najib Tun Razak ‘ mengkafankan’ dan ‘ menyemadikan’ karier politik Ketua Pembangkang.
Dakwanya, usaha tersebut sebelum ini gagal dilakukan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad apabila Anwar dibebaskan ketika zaman pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Namun ujarnya, persoalan yang masih menjadi tanda-tanya ialah adakah dengan memenjarakan Anwar, kedudukan Najib, UMNO dan Barisan Nasional akan bertambah kukuh dan sokongan rakyat terutamanya generasi muda kepada BN juga akan bertambah.
“Malah tidak kurang juga dengan sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat (PR),mungkin berpecah atau bertambah seperti yang dilaung-laungkan Anwar sebelum ini bahawa, sekiranya beliau dipenjarakan undi popular sebanyak 52 peratus akan bertambah kepada 60 peratus kepada PR benar-benar menjadi kenyataan,” soal beliau.
Beliau turut menyoal kelebihan yang diperoleh oleh Najib, “Apakah dengan memenjarakan Anwar juga menyebabkan Mahathir yang sebelum ini sudah menarik balik sokongannya kepada Najib, akan kembali menyokong atau terus mengasak dengan lebih kuat lagi?”
“Jika kembali menyokong, ini bermakna Mahathir sanggup melupakan penentangannya mengenai 1MDB dan BR1M yang menjadi antara asasnya menarik balik sokongan kepada Najib itu?,” ujar Shahbudin lagi.
Menulis dalam entri terbaru blog shahbudindotcom.blogspot.com beliau menjelaskan, sekiranya Mahathir terus mengasak untuk menggulingkan pentadbiran Najib selaku Perdana Menteri, siapa yang akan menyelamatkan beliau dan mampukah Najib melawan bekas Perdana Menteri itu dan kuncu-kuncunya berseorangan.
Dakwa beliau, dengan memenjarakan Anwar, langkah Mahathir menyingkirkan Najib akan menjadi lebih mudah sebagaimana yang dilakukan kepada Abdullah Badawi.
“Banyak menjadi persoalan selepas Anwar diperjarakan, pendirian Mahathir selepas ini pula akan menjadi kayu pengukur sejauh mana Najib masih boleh bertahan lagi dalam UMNO.
“Walaupun Anwar mungkin lebih “damai” dipenjara, Najib sebaliknya belum tentu ‘aman’ juga,” katanya.
Tambah Shahbudin, tersungkurnya Anwar dipenjara, menguatkan lagi kebencian rakyat kepada pemerintahan Najib, malah mereka bukan sahaja menempelak Najib, UMNO dan kerajaan di atas hukuman yang dibuat tetapi menguatkan lagi sokongan terhadap pembangkang dan rasa simpati rakyat terhadap Anwar.
 Shahbudin Dot Com

Tiada ulasan: