SPECIAL ADS

21 Mei 2013

Di negara lain, pasti pilhan raya semula

KUALA LUMPUR 22 Mei : Jika di negara lain, mungkin pilihan raya terpaksa diadakan semula di seluruh negara bagi mengatasi kelemahan dan kepincangan yang berlaku dengan jawatankuasa SPR lain yang dilantik.

"Sudah pasti SPR di negara tersebut telah dipertanggungjawabkan dengan pengerusi serta seluruh ahli jawatankuasa mereka akan meletak jawatan serta merta," kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Riduan Mohd Nor dalam satu kenyataan.

Kenyataan beliau itu merujuk kes seorang pemuda, Mohd Fadhli Khaharruddin dengan jujur dan berani tampil mengaku dan mendedahkan telah mengundi dua kali di lokasi yang sama tetapi pada waktu yang berlainan iaitu di saluran 4 Sekolah Kebangsaan Sungai Isap, Kuantan.

Katanya, kenyataan pemuda itu amat menggemparkan negara kerana ia mencabar secara terus kewibawaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai pengadil Pilihan raya Umum ke-13.

"Bagi saya, pemuda ini layak dipuji dan diberi anugerah khas atas keberanian dan kejujurannya," ujarnya lagi.

Katanya, keberanian pemuda ini membuka mata masyarakat dunia betapa rendahnya nilai SPR pada pandangan rakyat sehingga sistem daftar pemilih yang dibekalkan tidak mampu mengesan beliau ini sudah mengundi sebelum ini di tempat yang sama!

Pemuda itu, ujar beliau telah membuktikan bahawa daftar pemilih yang dibekalkan oleh SPR tidak bersih dan mudah dibocori oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

"Beliau juga membuktikan bahawa dakwat kekal yang dibekalkan oleh SPR tidak kekal dan boleh diambil kesempatan oleh sesiapa sahaja.

"Apakah ianya hanya satu-satunya kes yang berlaku, terpencil dan tidak boleh berlaku di mana-mana tempat lain?" tanya beliau.

Seharusnya, kata Riduan tidak berbangkit persoalan bahawa ia kes terpencil kerana hanya ia berlaku terhadap seorang sahaja sedangkan jutaan pengundi lain tiada masalah.

Yang pentingnya, ujar beliau adalah kes ini telah berlaku maka tidak mustahil boleh juga berlaku dimana-mana kawasan lain kerana modus operandinya amat mudah, apatah lagi sekiranya ratusan individu melakukan perkara yang sama kerana diupah oleh pihak tertentu.

"Mungkin kita tidak berkesempatan menemui ada insan lain sejujur pemuda ini yang sanggup tampil ke depan bagi mengakui tindakannya itu.

"Selain beliau, lapan kes pengundi yang dinafikan hak mengundi seperti yang didedahkan oleh Rafizi Ramli di lapan Parlimen mewakili sejumlah rakyat yang dinafikan hak kerana telah dicuri oleh pengundi hantu," katanya.

Sekali lagi, katanya bukan lapan orang yang perlu dibangkitkan tetapi nilai ketelusan pihak berwajib kerana kad pengenalan mereka telah ‘dicuri’ oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Ini, ujar beliau mewujudkan persepsi bahawa adanya sindiket haram mengeluarkan kad pengenalan palsu kepada individu tertentu sehingga mereka sanggup dan berani turun mengundi dalam PRU13.

"Bayangkan jika kes ini berlaku di mana-mana negara maju dan negara demokrasi kelas dunia, mungkin pilihanraya terpaksa diadakan semula di seluruh negara," ujarnya lagi.

Beliau berkata, begitulah teliti dan telusnya negara-negara lain supaya demokrasi benar-benar dijunjung tetapi malangnya di negara sendiri rakyat dipaksa menelan hidup-hidup demokrasi yang terang-terang menipu.

Tiada ulasan: