SPECIAL ADS

9 Mei 2013

Istilah Tsunami Cina tidak tepat

SHAH ALAM 10 Mei :  Sementara keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) Ahad lalu menunjukkan Barisan Nasional (BN) masih menguasai kerajaan Persekutuan, kajian awal Merdeka Center mendapati ‘tsunami pengundi Cina’ yang didakwa Datuk Seri Najib Tun Razak tidak tepat.

Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian berkata, secara umum tsunami seperti yang didakwa tidak tepat ekoran pengundi Melayu di bandar turut berubah memilih pembangkang daripada BN sebagai pemimpin kawasan tersebut.

Menurutnya, hasil kajian mendapati ada kemunculan perbezaan mengikut kelas sosial masyarakat dan lokasi sesuatu kawasan yang dipertandingkan.

"...oleh kerana kami masih belum perolehi data secara terperinci, dakwaan ‘tsunami pengundi Cina’ kurang tepat.

"Terdapat persaingan di kawasan berpendapatan rendah dengan pendapatan sederhana manakala bandar dengan kawasan luar bandar," katanya kepada Sinar Harian Online, semalam.

Sebelum ini, keputusan PRU13 diumumkan dan BN masih mendapat mandat rakyat untuk membentuk kerajaan persekutuan.

BN telah menang sebanyak 133 kerusi Parlimen dan PR menawan 89 kerusi.

Kemenangan yang diperolehi Pakatan Rakyat (PR) dilihat DAP menjadi sumbangan terbesar kepada perikatan itu apabila berjaya membuat penambahan sebanyak 10 kerusi daripada 28 kerusi Parlimen menjadikan jumlah kerusi yang dimenangi kepada 38 kerusi.

Sementara itu, Pas dan PKR masing-masing berjaya meraih 21 dan 30 kerusi Parlimen.

Dalam pada itu, Ibrahim memberitahu bahawa keputusan PRU13 tidak mempunyai perbezaan yang ketara daripada hasil kajian pada 3 Mei lalu.

Beliau berkata, keputusan yang ditunjukkan melibatkan banyak kawasan BN menang dan PR tewas kesemuanya dengan perbezaan undi kecil.

Tambah beliau, keputusan itu sejajar dengan dapatan kajian bahawa perbezaan sokongan pengundi terhadap kedua parti politik sangat rapat dan sengit.

"... keputusan itu sebenarnya tidak jauh hasil kajian kerana kajian hanya dapat mengunjurkan peratusan undi popular, ini kemudiannya dianalisis untuk mendapatkan anggaran jeumlah kerusi kasar.

"Kita dapati keputusan tidak jauh dari keputusan kajian," katanya.

Tiada ulasan: