SPECIAL ADS

7 Mei 2013

Kami bukan rasis tapi bijak - DHPP jawab Utusan

KUALA LUMPUR 07 Mei : Jika ditanya "Orang Cina mahu apa", saya mahu jawab orang Cina mahukan pemimpin yang bersih dari rasuah dan amanah, kata Naib Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Vincent Lee.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab laporan muka depan akhbar Utusan Malaysia hari ini yang bertajuk 'Apa lagi Cina mahu'.

Bekas Ketua Menteri Melaka, Mohd Ali Rustam juga di muka depan akhbar tersebut berkata "mereka (Cina) sangat rasis".

Ekoran kalah di Parlimen Bukit Katil, beliau menyalahkan orang Cina kerana tidak memilih beliau dan menyifatkan orang Cina tidak mengenang jasa.

Manakala semalam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam kenyataannya berkata, pilihan raya kali ini merupakan 'Tsunami Cina'.

"Orang Cina bukan rasis tapi kami bijak. Kami jelas dengan apa yang kami mahu iaitu pembangunan dan masa depan negara.

"Orang Cina mengutamakan pemimpin yang amanah dan bersih, tidak kira dari kaum apa pun," kata Vincent ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Vincent yang juga Ketua DHPP Wilayah Persekutuan turut berkata, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) boleh disifatkan sebagai rasis kerana seringkali mengeluarkan kenyataan bertujuan meniupkan api perkauman.

"Kalau mereka kata orang Cina rasis, mereka silap. Kalau nak cakap soal rasis, Perkasa lagi rasis," katanya.

Justeru beliau menyeru semua pihak khususnya akhbar milik Umno agar berhenti menyiarkan kenyataan yang menimbulkan kebencian antara kaum.

"Akhbar Utusan Malaysia cukup-cukuplah siarkan kenyataan menghasut kebencian orang Melayu kepada orang Cina. Kita harus berpolitik secara matang, bukan menimbulkan isu perkauman," katanya.

Tiada ulasan: