SPECIAL ADS

11 Mei 2013

Kuasa Sultan Selangor menentukan MB


SHAH ALAM 12 Mei : Siapa Menteri Besar Selangor yang baru masih menjadi topik hangat walaupun PRU13 sudah hampir seminggu berlalu, namun hakikat yang harus disedari ialah kuasa melantik Menteri Besar adalah pada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Kuasa baginda untuk melantik Menteri Besar Selangor diperuntukkan dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 berdasarkan Artikel 51.

Sejarah mencatatkan, semasa pemerintahan Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, baginda cukup tegas menentukan pengganti Tan Sri Muhammad Muhamad Taib yang telah meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar pada 14 April 1997, di mana baginda mahu calon berkenaan disaring dan disemak bagi memastikan calon itu benar-benar bersih.

Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz menegaskan bahawa calon itu haruslah jujur dan ikhlas dan baginda akan menolak seorang Menteri Besar yang mengejar kemewahan untuk diri sendiri.

Pada pertemuan Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz dengan Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad pada 21 April 1997, baginda bertitah calon sesuai untuk jawatan itu masih belum dipilih dan pada 2 Mei baginda berkenan memilih Tan Sri Abu Hassan Omar sebagai Menteri Besar Selangor.

Profesor dan Penasihat Undang-Undang Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Datuk A Halim Sidek berkata, pelantikan Menteri Besar Selangor yang bakal dilakukan Sultan Sharafuddin Idris Shah adalah berpandukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 dan ambil kira dua artikel penting.

“Pertama, baginda berhak untuk melantik seorang ahli Dun yang menurut pertimbangan baginda mendapat keyakinan majoriti dewan. Manakala kedua, orang yang dilantik mestilah berketurunan Melayu dan beragama Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian dengan merujuk kepada Artikel 51 (1) berdasar Artikel 53 (2)(a); dan Artikel 51 (2) tertakluk kepada Artikel 53 (4) dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959.  

Turut menarik perhatian Artikel 51 (1A) yang menyebut baginda berhak memilih Timbalan Menteri Besar Selangor.

PRU13 menghasilkan keputusan Pas dan DAP masing-masing memperoleh 15 kerusi di Dun Selangor, manakala PKR memperoleh 14 kerusi daripada 56 kerusi. BN pula kuasai 12 kerusi.

Prof A Halim berkata, jika ikut perkiraan bilangan kerusi, calon dari Pas, PKR dan DAP sama layak, tetapi dengan kuasa yang ada pada baginda berdasar artikel tadi, DAP tidak layak kerana mereka tiada calon Melayu beragama Islam di Selangor.

“Sama ada calon itu daripada Pas atau PKR tidak jadi persoalan walaupun PKR kurang satu kerusi daripada Pas, kerana mereka boleh muafakat letak satu calon.

“Tetapi akhirnya kuasa memperkenan calon mereka itu terletak di tangan baginda, memperlihatkan baginda mempunyai hak mutlak pilih MB Selangor,” katanya.

Ketua Biro Transformasi Muslim, Majlis Perundingan Melayu, Datuk Dr Mohamed Ghazali Md Noor ketika mengulas kepentingan Menteri Besar Selangor berketurunan Melayu dan beragama Islam itu berkata, klausa itu penting bagi memastikan baginda mempunyai penasihat arif dalam isu Melayu dan Islam.

“Baginda payung bagi orang Melayu dan tunjang kepada agama Islam, jadi perlulah Menteri Besar berketurunan Melayu dan beragama Islam. Jika sebaliknya, bagaimana mahu nasihati baginda?” katanya.

Dr Mohamed Ghazali berkata, satu lagi faktor perlu diteliti adalah sejarah di mana negara mula dibina Kesultanan Melayu itu sendiri dan kerajaan mula dibentuk Kesultanan itu subur hingga ke hari ini sebagai Kerajaan Malaysia. - Bernama

Tiada ulasan: