SPECIAL ADS

5 Mei 2013

PDRM beri amaran Grup 505

KHALID ABU BAKAR
KUALA LUMPUR 05 Mei :  Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran kepada kumpulan dikenali sebagai 505 yang dipercayai akan mengadakan perhimpunan dan perarakan bagi meraikan kemenangan sebuah parti ke Putrajaya, petang ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, berdasarkan risikan, kumpulan terbabit didapati mengajak orang ramai melalui edaran risalah, sistem pesanan ringkas (SMS) dan laman sosial dengan tujuan berkumpul di pusat mengundi selepas waktu mengundi, sebelum berarak ke Putrajaya.

"Kami telah mengenal pasti penganjur berkenaan serta lokasi tempat perhimpunaan itu antaranya Masjid Putrajaya dan berarak ke Pejabat Perdana Menteri," katanya.

Katanya, PDRM turut mengingatkan kepada semua pihak tidak terlibat dengan perhimpunan atau perarakan bagi meraikan kemenangan atau membantah keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Kami masih memantau penganjur kumpulan 505 itu, kami akan mengambil tindakan mengikut Seksyen 141 Kanun Keseksaan, jika mereka masih lagi berdegil untuk bersurai, polis akan mengambil tindakan mengikut 147 Kanun Keseksaan, mereka boleh dipenjarakan dua tahun jika disabitkan bersalah," katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Dalam perkembagan lain Khalid berkata, PDRM mendapati terdapat perancangan propaganda yang cuba disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab melalui SMS.

Katanya, tindakan pihak berkenaan boleh menimbulkan kemarahan orang ramai dan menimbulkan kekecohan.

"Kami mendapati pihak berkenaan cuba menyebar gambar yang didakwa pengundi hantu, saya menyarankan kepada masyarakat jika mendapati pengundi hantu segera melaporkan kepada SPR atau polis supaya tindakan dapat diambil. Mereka perlu buat laporan polis dan kami akan menjalankan siasatan," katanya.

Menurutnya, PDRM juga mengesan individu yang sengaja cuba menyebarkan khabar angin berhubung dakwaan terdapat kekecohan di beberapa lokasi.

"Khabar angin itu boleh menimbulkan kerisuan masyarakat untuk keluar mengundi, setakat ini kami masih belum menerima laporan insiden buruk," katanya.

Khalid berkata, PDRM dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk mengesan individu yang menyebar khabar angin tersebut.

"Kami akan mengambil tindakan secepat mungkin setelah menerima maklumat individu terbabit," katanya.

Tiada ulasan: