SPECIAL ADS

5 Mei 2013

Proses PRU13 Paling Teruk

Ketua BN Pulau Pinang: Proses mengundi PRU13 'paling teruk'
GEORGETOWN 05 Mei : Pengerusi Barisan Nasional Pulau Pinang, Teng Cheng Yeow menyifatkan pengendalian Pilihan Raya Umum ke-13 oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) adalah paling teruk.

Beliau berkata demikian berikutan ramai pengundi terutamanya pengundi warga emas terpaksa beratur panjang untuk menunggu giliran masing-masing untuk membuat semakan daftar pemilih, di luar pusat mengundi.

"Saya tidak pasti sama ada ia disebabkan mengambil cara baru untuk 'bersihkan' pilihan raya kali ini.

"Adakah cara ini, adalah paling berkesan untuk menunjukkan kita sebuah negara maju, demokrasi matang," katanya selepas menunaikan tanggunjawab sebagai pengundi di kawasan Parlimen Bukit Bendera dan Dun Pulau Tikus, kira-kira jam 11.25 pagi tadi.

Cheng Yeow terpaksa beratur lebih satu jam untuk masuk ke dalam bilik mengundi di Sekolah Kebangsaan St Xavier (Cawangan), Jalan Brother James, di sini.

Pada mula, beliau tiba di pusat mengundi berkenaan, seawal  jam 8.40 pagi, selepas melihat keadaan di mana pengundi beratur panjang di dua lokasi pintu masuk ke sekolah berkenaan untuk membuat semakan daftar pemilih, beliau menangguh hasratnya untuk mengundi dan membuat lawatan ke beberapa pusat mengundi di kawasan lain seperti Tanjung, Batu Uban, Jelutong dan Bukit Bendera.

"Saya cuba untuk melawat sebanyak mungkin pusat mengundi yang boleh sejak awal pagi ini, sebelum saya menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di kawasan ini," katanya.

Sebelum itu, beliau turut meluahkan rasa tidak puas hati dengan proses pilihan raya dikendalikan oleh SPR kali ini berbanding pilihan raya umum yang lalu.

Menurutnya, pilihan raya umum lalu, mempunyai 'pondok panas' yang dikendalikan oleh parti-parti politik dan ia sangat membantu untuk pengundi membuat semakan daftar dengan cepat.

"Apabila tugas semakan dibuat sepenuhnya oleh pihak SPR, melambatkan proses mengundi kali ini. Ini menyebabkan semua pusat mengundi sesak dan terpaksa beratur panjang," katanya.

Beliau turut mempersoalkan sama ada proses pengundian kali ini menunjukkan demokrasi negara kita sudah mencapai tahap yang matang.

"Dalam lima penggal saya bertanding, ini adalah satu-satunya penggal di mana pengendalian paling teruk oleh pihak SPR," katanya.

Ketika ditanya adalah pengendalian 'paling teruk' dimaksudkan itu, menunjukkan pihak SPR mengendalikan PRU13 dengan cara yang 'bersih' dan mengelakkan isu pengundi 'hantu'.

"Saya tidak tahu, terpulang kepada pandangan setiap individu dalam hal ini. Untuk saya, paling teruklah... semua orang dok tunggu lama... ada pengundi di kawasan lain sudah marah...

"Penelitian rapi apa... nama tidak boleh diubah... takkan ada pengundi 'hantu'... setakat ini mana ada pengundi 'hantu'... dulu ada pihak buat tohmahan mengatakan ramai warganegara nepal dan bangladesh akan mengundi... hari ini perkara itu sangat jelas, bahawa itu  semua adalah tohmahan semata-mata dan tidak berasas daripada sesetengah parti politik," katanya.

Tiada ulasan: