SPECIAL ADS

4 Mac 2014

Aktivis bawa bunga lambang keamanan di khalayak NGO bantah gereja depan mahkamah

Datin Paduka Marina Mahathir (dua dari kiri) bersama aktivis lain hadir membawa bunga di upacara agama sebuah gereja di Klang, awal tahun ini sebagai lambang keamanan. Gambar fail.
05 Mac : Seorang wanita Islam yang menghadiahkan kuntuman bunga gereja kepada penganut Kristian di Klang awal tahun ini, menghadirkan diri dengan mesej yang sama di Istana Kehakiman di Putrajaya, pagi ini.
Sekali lagi, aktivis, Siti Kassim membawa sejambak bunga sebagai menyatakan solidariti bersama rakan Kristian dan Islam yang lain untuk membawa mesej keamanan.
"Kami ingin buktikan ini bukan ajaran Islam dan ucapan yang dikeluarkan pagi ini tidak melambangkan semangat Malaysia.
"Lihat kepada baju-T saya hari ini, menunjukkan Allah adalah Tuhan sekalian alam dan bukan eksklusif kepada umat Islam sahaja," katanya di luar Mahkamah Persekutuan yang sedang bersidang untuk mendengar permohanan kebenaran untuk merayu oleh gereja Katolik terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengharamkan penerbitannya, Herald, daripada penggunaan kalimah Allah.
Beberapa pertubuhan lain yang membantah penggunaan nama Allah oleh Herald juga berhimpun pagi ini, termasuk Perkasa.
Siti bersama anak bekas perdana menteri, Datin Paduka Marina Mahathir, tiba di Gereja Our Lady of Lourdes di Klang Januari lalu dengan membawa bunga untuk penganut Kristian yang sedang menghadiri upacara Ahad.
Siti memberitahu The Malaysian Insider, meskipun kehadirannya tidak seramai NGO Islam yang hadir berkumpul di perkarangan mahkamah, kehadirannya melegakan penganut Kristian.
"Kami datang dengan aman tanpa sepanduk dan hadir dengan penuh cinta.
"Mereka perlu tahu dunia mentertawakan kita dengan tuduhan tidak berasas ini," katanya, merujuk kritikan beberapa sarjana dan ulama luar negara mengenai larangan penggunaan nama Allah oleh penganut Kristian.
Ketika Siti sedang diwawancara, wakil NGO Islam datang mempertikaikan kenyataannya.
Siti menjawab apa yang diperkatakannya tidak merujuk kepada semua umat Islam.
Mahkamah Persekutuan akan memutuskan sama ada permohonan gereja Katolik dibenarkan merayu, lima bulan selepas Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa menteri dalam negeri mempunyai budi bicara untuk melarang penggunaan kalimah Allah di dalam Herald.
Sekiranya permohonan itu ditolak, keputusan Mahkamah Rayuan pada Oktober 14 tahun lalu dianggap betul daripada segi fakta dan undang-undang, dan pihak gereja dilarang membuat rayuan lagi. TMI

Tiada ulasan: