23 Mac : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kakitangan dan pemimpin kerajaan yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Malaysia Airlines (MH370) wajar diberikan pujian namun mempersoalkan keengganan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersuara setelah lebih dua minggu pesawat dilapor hilang sejak 8 Mac lalu.
Dalam satu wawancara bersama Radio Nasional Australia pada lewat malam Jumaat, Anwar menyelar "kehilangan" Najib sejak beberapa hari lalu dan dilihat gagal menguruskan insiden yang mendapat perhatian umum.
“Malah, ada jenaka yang dibuat: Kehilangan pesawat dan perdana menteri pada 9 hari pertama,” katanya dalam program yang turut menampilkan penganalisis politik dari Singapura, Bridget Welsh.
“Kemudian beliau hanya memberi kenyataan dan tidak mahu menjawab soalan,” katanya merujuk kehadiran Najib pada sidang media 15 Mac lalu mengumumkan kerja SAR diperluas ke Laut China Selatan.
Najib yang membaca kenyataan media meninggalkan pemberita tanpa menjawab soalan yang dikemukakan.
Anwar yang pernah menjawat jawatan timbalan perdana menteri dan pemangku perdana menteri sebelum pemecatannya pada 1998 turut ditanya apakah yang dilakukannya jika masih berada dalam kerajaan.
Katanya, kerajaan perlu melantik orang yang ‘kompeten’ sama ada menteri atau pegawai kanan bagi menjawab persoalan tentang kehilangan pesawat.
“Terlalu banyak percanggahan setiap hari. Rakyat boleh mengesan kesilapan dalam pelbagai jawapan oleh Jabatan Penerbangan Awam, MAS, ketua polis negara, menteri dalam negeri dan menteri pengangkutan. Itu tidak boleh berlaku. Kredibiliti kita hilang.
“Sistem tidak telus. Mereka boleh lari daripada media tempatan tetapi tidak akan terlepas dipersoalkan media antarabangsa.
Welsh, pakar dalam senario politik Malaysia berkata, insiden MH370 meletakkan kerajaan Malaysia menjadi tumpuan yang menunjukkan mereka tidak menjawab secara nyata, jelas dan berterus terang.
Beliau membuat perbandingan reaksi pihak berkuasa Malaysia beberapa hari terawal mengenai kaedah yang digunakan ketika berdepan dengan krisis itu.
“Masalahnya adalah jawapan mereka cenderung kepada penafian yang tidak membina kredibiti kepada masyarakat sekalipun,” katanya.
Welsh berkata, rakyat Malaysia curiga dengan cara perdana menteri menangani krisis yang sekali gus mewujudkan sentimen bagaimana kerajaan mengambil tindakan terhadap rakyat dalam negara.
Malaysia berdepan dengan kritikan hebat daripada keluarga penumpang pesawat, media antarabangsa dan kerajaan China berhubung pendekatan yang digunakan menangani krisis.
Kritikan juga berkisar dengan kenyataan bercanggah dan sikap telus kerajaan Malaysia. TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan