SPECIAL ADS

22 Mac 2014

Lebih ramai percaya MH370 dirampas daripada terhempas?

23 Mac : Sudah dua minggu berlalu tetapi sehingga kini masih belum ada apa-apa berita mengenai pesawat MH370. Pada Sabtu 8 Mac, kerajaan mengumumkan pesawat itu hilang daripada radar di perairan Vietnam dan mengesyaki ia mungkin terhempas di Laut China Selatan tetapi pada Sabtu seterusnya iaitu 15 Mac, Najib pula membuat pengumuman pesawat itu sebenarnya dikesan berpatah balik dan radarnya dimatikan dengan sengaja oleh seseorang yang berada di dalam kokpit.
Sejak itu, pencarian tidak lagi dilakukan di Laut China Selatan tetapi sudah menjarak sehingga ke Lautan Hindi dengan jumlah negara, pesawat udara, kapal laut, radar dan anggota pasukan mencari dan menyelamat yang turut bertambah. Namun sehingga ini masih juga tiada tanda pesawat itu akan ditemui.
Pada Sabtu seterusnya iaitu semalam, ramai sebenarnya yang mengharapkan ada sesuatu pengumuman yang positif daripada kerajaan dan seterusnya merungkai misteri kehilangan pesawat yang sudah berlarutan selama dua minggu itu. Tetapi nampaknya Sabtu, 22 Mac tiada apa-apa berita daripada kerajaan.
Selain itu, kita juga diberitahu bahawa di antara 239 yang berada di dalam pesawat itu, 20 orang daripadanya adalah kakitangan Freescale Semiconductor yang berkemahiran tinggi dan mungkin menjadi perhatian pesaing industri yang bernilai tinggi.Yang ada hanyalah beberapa penemuan yang makin membingungkan rakyat, lebih-lebih lagi waris mangsa. Jika sebelum ini kita diberitahu, antara muatan kargo adalah bertan-tan manggis, kini kita dibertahu lagi bahawa di dalamnya terdapat bahan kimia litium yang biasa digunakan untuk membuat bateri.
Meskipun sejak Najib mengumumkan pesawat itu dimatikan radarnya secara sengaja dan didapati berpatah balik serta dikesan kali terakhir oleh satelit pada 8.11 pagi 8 Mac, usaha mencari lebih ditumpukan ke Lautan Hindi seolah-olah ada keyakinan bahawa pesawat itu terhempas atau sengaja dijunamkan di kawasan paling di lautan tersebut.
Ia dikuatkan lagi dengan kenyataan pemangku Menteri Pengangkutan bahawa pihaknya turut menyiasat faktor bunuh diri juruterbangnya, Kapten Zaharie Ahmad Shah.
Daripada segi kerajaan, nampaknya mereka lebih yakin pesawat itu terhempas dan lebih memedihkan ia juga menjurus kepada perbuatan sengaja yang dilakukan oleh juruterbangnya. Tanpa sebarang fakta dan bukti, itulah andaian berlegar setakat ini.
Hakikatnya amatlah tidak wajar membuat sebarang dakwaan terhadap Kapten Zaharie tanpa bukti kukuh. Tidak masuk akal untuk mengatakan semata-mata kecewa terhadap hukuman yang dijatuhkan ke atas Anwar Ibrahim, beliau melakukan sabotaj ini. Lebih tidak masuk akal untuk mengaitkan seorang Islam dengan kejadian bunuh diri kerana betapa kecewanya pun seorang yang beragama Islam itu dalam hidupnya, membunuh diri bukanlah pilihan yang menjadi kelaziman.
Orang Islam juga selalu diingatkan bahawa membunuh diri adalah dosa paling besar, memalukan keluarga dan neraka balasannya.
Sementara Najib menyalahkan pesawat itu dilencongkan secara sengaja dan Hishammuddin pula mengatakan kejadian bunuh diri turut disiasat, hanya kawan-kawan dan kenalan rapat Kapten Zaharie yang tampil mempertahankan juruterbang itu manakala MAS sebagai majikan hanya berdiam diri. Agak mengecewakan situasi ini.
Kenapa MAS hanya berdiam diri? Dan kenapa fokus lebih ditumpukan kepada terhempas berbanding dirampas? Setelah dua minggu berlalu dan belum ada tanpa-tanda ditemui di darat, laut, hutan dan sebagainya, rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan kehilangan pesawat itu kini mulai meyakini bahawa MH370 lebih mungkin dirampas dan sedang disembunyikan, bukannya terhempas.
Di mana-mana terdengar hujah yang mudah iaitu jika terhempas, setelah dua minggu, pasti sesuatu kesan daripadanya sudah ada ketika ini.
Meskipun sukar dipastikan, ramai yang percaya pesawat MH370 itu sedang disembunyikan di sesuatu tempat dan ia dilakukan melalui perancangan yang sangat rapi. Kerapian itu bukan saja untuk memastikan pesawat dapat didaratkan di sebuatu tempat yang selamat dan sukar dikesan tetapi juga meliputi aspek untuk menyediakan keperluan makan minum dan tempat tinggal kepada 239 penumpang itu.
Memanglah bukan mudah untuk menyediakan makan minum kepada 239 orang selama berhari-hari tetapi tidaklah mustahil perkara itu dilakukan jika ia dirancang dengan rapi sejak bertahun-tahun lalu.
Jika ada yang mengatakan penyediaan makan minum seumpama kenduri itu agak mustahil, samalah juga mustahilnya dengan mengatakan Kapten Zaharia sengaja melakukan sabotaj dan bunuh diri dengan menjunamkan pesawat itu ke Lautan Hindi semata-mata kerana marahkan kerajaan atau kecewa dengan hukuman keatas Anwar.
Jika benar beliau kecewa, mahu melakukan sabotaj dan bunuh diri, apa perlunya beliau terbang selama lebih sejam serta kemudian berpatah balik dan menuju ke Laut Hindi untuk mencari sasarannya? Lebih baik beliau hempaskan pesawat itu ke arah Seri Perdana atau langgarkan saja ke Bangunan KLCC. Lebih daripada itu, cukupkah minyak pesawat untuk sampai ke Laut Hindi itu?
Semakin lama masa berlalu dan semakin banyak kekaburan yang timbul di sebalik kehilangan pesawat ini, walaupun kerajaan lebih menjurus kepada kemungkinan ianya terhempas tetapi rakyat lebih merasakan MH370 sebenarnya dirampas dan sedang disembunyikan di suatu tempat rahsia.
Pelbagai rumusan dan telahan dapat didengar mengenai sebab kemungkinan pesawat itu dirampas. Di media luar negara, di media sosial dan dari mulut rakyat jelata, semua itu makin kedengaran kebelakangan ini.
Sebagaimana media luar dan beberapa negara mempersoalkan sebelum ini, apakah sekali lagi kerajaan sedang menyembunyikan sesuatu? 
shahbudindotcom.blogspot.com,

Tiada ulasan: