SPECIAL ADS

25 Mac 2014

Malaysia tidak cekap kendalikan penyiasatan MH370, kata bekas ketua keselamatan udara AS

Photo
25 Mac : Sudahlah dikritik dengan pengendalian pencarian pesawat MH370, kini Putrajaya dituduh pula sebagai "tidak cekap" menjalankan siasatan terhadap kehilangan misteri pesawat di Lautan Hindi, lapor Wall Street Journal (WSJ) hari ini.
Bekas Pengerusi Lembaga Keselamatan Pengangkutan Negara Amerika Syarikat (NTSB), Jim Hall bersikap kritikal dalam satu temubual dengan CNN pada Isnin petang apabila beliau diminta memberi pandangan sama ada kenyataan rasmi pihak berkuasa Malaysia boleh dipercayai. Zon waktu Amerika adalah setengah hari lewat berbanding Malaysia.
"Malangnya, kerajaan Malaysia tidak berwibawa mengendalikan penyiasatan ini," kata Hall yang dipetik sebagai berkata dalam laporan WSJ itu.
Akhbar harian itu juga menyifatkan hala tuju penyiasatan Malaysia sebagai "ortodoks".Para pegawai Malaysia tidak memberi respons kepada setiap kritikan tertentu yang ditujukan kepada mereka, lapor sebuah akhbar harian perniagaan pula.
Prestasi Malaysia dilaporkan berbeza dengan protokal ketat dan sistematik NTSB tahun lepas apabila ia menyiarkan setiap hari laporan terkini berkenaan Boeing 777- 200ER Asiana Airlines yang terhempas ke tembok laut dan pecah ketika cuba mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco.
Laporan itu juga berkata, siasatan Putrajaya terhadap kehilangan pesawat MH370 adalah mengikut kaedah tradisional dalam menjalankan penyiasatan terhadap kemalangan sebesar itu.
Pihak berkuasa Malaysia dipersalahkan dan dikritik kerana menyimpan atau melengahkan maklumat dan kadang kala memberikan butiran yang bercanggah pada peringkat awal usaha pencarian, kata akhbar itu.
Bagaimanapun, Putrajaya tergesa-gesa membuat sidang akhbar tergempar malam tadi, tidak lama selepas beberapa pakar asing memberi taklimat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengenai kesimpulan yang baru diperoleh daripada analisis data satelit.
Najib memberitahu dunia bahawa pesawat  yang membawa 239 penumpang terhempas di bahagian terpencil di Lautan Hindi dan menegaskan bahawa maklumat diberi untuk memberitahu keluarga mangsa "pada kadar secepat mungkin” dan "memenuhi komitmen terhadap keterbukaan dan penghormatan."
Perdana menteri kemudian memberitahu bahawa penjelasan terperinci  terkini terhadap analisis serta butiran berkaitan – akan dimaklumkan hari ini.
Namun, kurang dua jam selepas pengumuman itu, Naib Presiden Inmarsat PLC Chris McLaughlin mula memberi temu bual kepada pelbagai media di seluruh dunia, mendedahkan beberapa elemen utama dalam penyiasatan – satu langkah yang boleh dianggap pelanggaran peraturan penyiasatan mana-mana kemalangan udara.
Komen McLaughlin itu dilaporkan secara meluas di seluruh dunia memandangkan Inmarsat adalah sebuah firma British yang membuat penemuan teknikal dalam pencarian lokasi terakhir diketahui bagi pesawat yang hilang.
WSJ melaporkan McLaughlin bebas membincangkan beberapa isu-isu utama siasatan yang tidak dapat diselesaikan, daripada pandangan beliau pesawat terbang pada ketinggian sepatutnya pada jam terakhir sehingga kehabisan minyak di suatu tempat di selatan Lautan Hindi.
Dalam satu temu bual, beliau berkata pencarian bersar-besaran antarabangsa bagi sisa-sisa Boeing 777-200 ER kini adalah pada “tempat yang betul”.
McLaughlin juga menegaskan semalam bahawa beliau yakin pasukannya mempunyai unjuran laluan  penerbangan yang tepat dengan lebih kurang 100 batu.
Kenyataan seperti itu selalunya dilarang dalam kes siasatan tipikal nahas udara, di mana para pegawai syarikat yang mengambil bahagian diminta menyediakan kepakaran  teknikal belakang tabir tetapi diarahkan daripada menjawab komen daripada orang awam.
Di Amerika Syarikat, akhbar memberitahu komen McLaughlin akan menyebabkan beliau dan syarikatnya akan dikeluarkan serta merta daripada mana-mana penyiasatan NTSB, mengikut peraturan dan prosedur lembaga pengarah.
Banyak negara seperti Britain mempunyai peraturan yang sama ketat, WSJ melaporkan.
Boeing Co dan Rolls -Royce PLC yang mengeluarkan pesawat Malaysia dan enjin, berdiam diri dan berkali-kali menolak untuk menjawab sebarang soalan, memandangkan penyiasatan masih diteruskan.
Hala tuju penyiasatan Malaysia yang tidak ortodoks, WSJ melaporkan, turut memberitahu fakta yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan peranan tekanan antarabangsa. 

Tiada ulasan: