06 Mac : SEBELUM rakyat Malaysia membuang undi untuk Pilihan Raya Umum ke-13, akhbar perdana di bawah kawalan Barisan Nasional (BN) dilihat melampiaskan saki-baki propaganda mereka. Maka dongeng mengenai “Tentera Kacang Merah”(TKM) dihurai dengan panjang lebar.
New Straits Times misalnya menerbitkan artikel mengatakan bahawa TKM mempunyai kekuatan anggota yang melampau besarnya. Kononnya antara 2,000 hingga 3,000 orang dan setiap seorang pula dibayar gaji antara RM3,000 dan RM8,000.
Angka yang amat tidak masuk akal baik daripada segi bilangan anggota mahupun jumlah gaji mereka. Malah, angka itu turut bercanggah dengan laporan awal lidah parti United Malay National Organization (UMNO), Utusan Malaysia bahawa bilangannya cuma ratusan orang.
Ciri-ciri TKM yang disebut dalam artikel itu juga samar-samar. Sehinggakan mana-mana warga awam yang melayari internet dan pada masa sama menentang BN, boleh dituduh sebagai TKM.
Munculnya dongeng TKM beberapa hari sebelum PRU-13 pada awalnya disangkakan hanya satu lagi taktik menakut-nakutkan rakyat dan memburuk-burukkan Pakatan Rakyat khususnya DAP.
Bagaimanapun pasca PRU-13, rakyat masih dapat lihat TKM terus rancak dijadikan modal momokan. Semakin hari semakin berkembang jalan ceritanya. Mungkin ia seperti apa yang Joseph Goebbels sebutkan tentang teknik propaganda Winston Churchill,
“…the principle that when one lies, one should lie big, and stick to it. They keep up their lies, even at the risk of looking ridiculous.”
Dongeng yang berterusan dan berkembang ini menimbulkan banyak persoalan di kalangan warga siber. Oleh itu pelbagai teori muncul untuk merungkai apakah sebenarnya matlamat besar diteruskan wayang dengan TKM sebagai watak utamanya.
Antara teorinya:
1. Disebabkan BN gagal menguasai gelanggang siber berbanding lawannya, maka gelanggang itu mesti dikuasai dengan kuasa.
Diwujudkan TKM si pengganas dunia siber, bertujuan mengolah persetujuan umum agar menerima penggubalan undang-undang atau tindakan penguasa yang keras ke atas dunia siber.
2. Bertindak sebagai label meletakkan semua yang menentang BN di dalam satu bakul dan mudah untuk mengaitkannya secara terus dengan pihak oposisi.
Penentang BN di alam siber akan dilihat sebagai satu gerakan tersusun yang berbahaya dan bukannya suara jujur individu warga Malaysia.
3. Menjadi ‘naga’ untuk disembelih ‘satria berbaju besi’.
Ini kerana jika ditelusuri perkembangan TKM di media pro-BN. Sudah pasti akan mula kelihatan individu yang mula menggunakan TKM sebagai batu loncatan politik samada dengan berlagak wira, mangsa atau kedua-duanya sekali.
Merebut harta perang?
Masa berlalu dan dongeng TKM menjadi basi. Barangkali kerana gelaran propaganda “tentera kacang merah” itu sendiri kelihatan seperti satu cubaan buat lawak yang tidak menjadi.
Akan tetapi baru-baru ini lidah rasmi parti UMNO, Utusan Malaysia melalui kolum Awang Selamat sekali lagi membangkitkan mengenainya.
Di samping galak mengapi-apikan dan menghasut sentimen kaum pembaca dengan menyatakan TKM “menghina Islam, Melayu, pasukan keselamatan, kakitangan awam dan negara.”
Memang sudah tugas lidah parti UMNO itu mengapi-apikan sentimen kaum orang Melayu sejak sekian lama. Dan demi untuk mengaburi hakikat bahawa Pak Menteri dan pihak berkuasa sering tutup sebelah mata terhadap hasutan jahat mereka, mereka serang pula momok rekaan mereka.
Momok yang sehingga hari ini tidak berjaya dibuktikan kewujudannya.
Namun, ahli politik old-timer Lim Kit Siang membuat satu lagi pembongkaran mengapa dongeng TKM yang sudah basi kembali diperhangat. Beliau menjelaskan kemunculan semula dongeng TKM adalah kerana tamakkan wang.
Ia merupakan usaha tentera siber upahan UMNO supaya tidak diketepikan daripada memperoleh dana perang siber yang besar jumlahnya.
Dikhabarkan terdapat ‘panglima baru’ yang merupakan ‘genius IT’ telah dibawa masuk untuk menggerakkan pelan baru. Pelan yang tidak banyak memberikan ruang untuk tentera upahan yang lama. Terutamanya yang dulunya menuai untung daripada dongeng TKM.
Maka tentera lama yang sudah berkarat dan menuai keuntungan daripada dongeng TKM terpaksa memainkan semula wayang lama dengan harapan kekal releven.
Maka di situlah peranan Utusan yang selama ini menganggap dirinya ‘abang besar’ kepada tentera propaganda siber itu untuk menghidupkan kembali dongeng lama. Demi kelangsungan hidup propagandis yang sudah lapuk.
Persoalannya, dalam percaturan untuk memenuhi tembolok mereka, kerugiannya ditanggung siapa?
Siapa lagi kalau bukan kita, warga Malaysia.
Oleh Edry Faizal
Tiada ulasan:
Catat Ulasan