SPECIAL ADS

25 Mac 2014

Melihat aspek undang-undang tuntutan pampasan MH370

25 Mac : Negara mempunyai pengalaman nahas udara yang membabitkan pesawat komersial Malaysia Airlines di Tanjung Kupang pada 4 disember 1977 yang mengorbankan 93 penumpang dan 7 anak kapal termasuk beberapa pegawai tinggi kerajaan ketika itu seperti Menteri Pertanian, allahyarham Datuk Seri Ali Ahmad; ketua pengarah JKR, pengarah kerjaya tentera, timbalan ketua pengarah Jabatan Perikanan, setiausaha politik menteri pertanian dan Duta Cuba ke Malaysia.
Bagaimanapun, kejadian berkenaan bukan bermakna kita mempunyai pengalaman yang mencukupi untuk menguruskan tragedi serta krisis yang timbul berikutan kehilangan secara misteri pesawat MH370.
Seksyen 24 (1) (b) , Akta Penerbangan Awam 1969 dengan jelas memperuntukkan segala tuntutan mesti dibuat dalam tempoh 3 bulan daripada tarikh kejadian sesuatu tragedi.
Tuntutan mesti dilakukan terus kepada semua pihak yang bertanggungjawap terhadap tragedi berkenaan termasuk syarikat penerbangan, insurans serta pihak berkuasa yang bertanggungjawab termasuk Jabatan Penerbangan Awam.
Dalam kes yang tidak dipertikai, pembayaran terus oleh syarikat insurans kepada waris yang diberi kuasa untuk menerima pembayaran berkenaan, ia melibatkan proses mahkamah untuk mendapatkan surat kuasa untuk mentadbir pembayaran wang insurans supaya dapat dibahagikan mengikut peratusan sepatutnya kepada semua waris yang layak.
MAS membuat pembayaran awal sebanyak US$5,000 setiap keluarga mangsa kepada waris terdekat baru-baru ini. Namun ada juga yang mempertikaikan bayaran berkenaan di mana seorang bapa mertua secara terbuka mempertikai kenapa bayaran dibuat kepada menantunya apabila anak lelakinya adalah salah seorang mangsa yang hilang bersama pesawat MH370.
Untuk menjadi adil supaya tiada kekalutan bila setiap keluarga yang dijadualkan menerima paling minima sekitar US$175,000 (RM573,475) maka proses mendapat surat kuasa mahkamah kepada waris terdekat yang layak diberi kuasa untuk membahagikan jumlah wang berkenaan mengikut peratusan sepatutnya kepada waris lain yang layak.
Setakat ini mengikut laporan The Telegraph semalam merujuk kepada tragedi MH370 pihak insurans Allianz Global Corporate & Specialty membayar kepada Malaysia Airlines sebanyak US$110 juta (67 juta Pound Sterling) yang dibuat sebagai bayaran permulaan untuk meliputi bayaran penderitaan/kesusahan (hardship payments) sebagai kos sara hidup yang dibayar kepada satu akaun escrow sebagai pemegang amanah.
Apa yang jelas setakat ini MAS membayar sebanyak US$5,000 untuk setiap waris terdekat di samping menanggung perbelanjaan hotel, makan, minum dan pengangkutan.
Pembayaran berkenaan dibuat mengikut amalan biasa antarabangsa bagi pengangkutan udara yang menyatakan jika pesawat hilang lebih 2 hari maka ia di anggap musnah.
Polisi insuran berkenaan diambil di Malaysia tetapi ia menjadi satu amalan industri insuran yang ia akan diinsuranskan semula dengan kumpulan insuran antarabangsa yang diketuai oleh kumpulan Allianz.
Pada Isnin 10 Mac 2014, syarikat insurans dari Jerman mengesahkan syarikat mereka kumpulan Allianz mengetuai kumpulan syarikat insurans untuk pesawat Boeing 777-200ER yang dikenali sebagai MH370 penerbangan Kuala Lumpur-Beijing yang dilaporkan hilang selepas kira kira 45 minit berlepas daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Jumlah bayaran setiap keluarga yang dirujuk sebagai US$175,000 (RM573,475) ialah bayaran minima bermaksud waris tidak perlu langsung membuktikan kecuaian MAS atau pihak berkuasa.
Sekiranya ada yang yang membuat keputusan untuk membawa MAS dan pihak berkuasa berkaitan ke mahkamah maka tidak mustahil mahkamah boleh memerintahkan jumlah lebih besar daripada amaun berkenaan sekiranya dapat dibuktikan elemen kecuaian di pihak MAS dan atau pihak berkuasa berkaitan.
Tindakan sebegini adalah perkara biasa bagi pengamal undang-undang penerbangan antarabangsa seperti yang dilaporkan Yahoo News.
Tindakan litigasi sivil di Malaysia akan bermula di Mahkamah Sivil mengikut amaun yang dituntut. Selepas tindakan diambil, plaintif dan defendan boleh diarahkan untuk menyelesaikan terlebih dahulu menerusi proses timbangtara.
Jika kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan di peringkat timbangtara, sebarang keputusan adalah mengikat (binding) kepada kedua-dua pihak mengikut Akta Timbangtara 2005 dan cuma boleh diubah memohon ke Mahkamah Tinggi.
Untuk tindakan kecuaian, syarikat penerbangan tidak perlu menunggu sebarang tempoh tertentu untuk membuat pembayaran asalkan waris dapat membuktikan terdapat elemen kecuaian di pihak syarikat penerbangan/pihak berkuasa penerbangan.
Syarikat penerbangan boleh membuat bayaran sepenuhnya sekalipun tiada mayat atau bangkai pesawat ditemui langsung, kata Floyd Wisner, peguam dari Amerkca yang mewakili waris kemalangan Air France pada 2009 yang ditemuramah oleh The Mail Online.
Juga di dalam tragedi Adam Air Flight 574, pihak insurans syarikat penerbangan bersetuju membayar waris dalam masa 4 minggu sahaja dari tarikh kejadian iaitu sebelum bangkai pesawat dan sebelum mayat dijumpai.
Jadi, mengikut terma terma polisi insurans yang diambil oleh syarikat penerbangan maka ia sepatutnya tiada halangan untuk membuat pembayaran secepat mungkin.
Bagaimana pula jika tragedi adalah disebabkan elemen keganasan?
Jawapannya, insurans tetap perlu membayar kerana penumpang bukanlah puncanya (passengers not at fault) sepertimana yang berlaku pada pesawat Pan America Flight 103 di Lockerbie, Scotland pada 1988.
Adalah tidak mustahil untuk jumlah tuntutan MH370 semua waris penumpang sahaja berjumlah antara US$500 juta ke US$750 juta.
Malaysia yang menerima Montreal Convention yang menyediakan peraturan dan prosedur tuntutan terhadap syarikat penerbangan di mana syarikat penerbangan negara kita, MAS tertakluk kepada prinsip ‘strict liability’ yang wajib membayar minima US$175,000 kepada waris yang layak dan diberi kuasa tanpa waris perlu membuktikan apa-apa.
Di bawah Montreal Convention juga, MAS perlu menawarkan pembayaran berkenaan dalam masa 6 bulan daripada tarikh jadual asal ketibaan di Beijing.
Sebagaimana yang dijelaskan tadi, jika ada waris yang ingin menuntut amaun yang lebih besar maka beban bukti cuai diletakkan kepada waris untuk membuktikan MAS/pihak berkuasa penerbangan cuai.
Jika terbukti pihak berkuasa penerbangan turut cuai, keadaan akan menjadi lebih menarik di mana pihak berkuasa/kerajaan Malaysia boleh turut diseret sebagai defendan dan terpaksa membayar pelbagai gantirugi/pampasan yang lebih besar daripada amaun asas yang diwajibkan oleh Montreal Convention.
Akhir sekali, tindakan mahkamah perlu dimulakan dalam tempoh 3 bulan dari tarikh kehilangan pesawat mengikut seksyen 24(1) (b) Akta Penerbangan Awam 1969 sekalipun syarikat penerbangan mempunyai 6 bulan untuk menawarkan pembayaran kepada waris berkaitan.
Waris mesti bertindak segera, tidak leka dengan tempoh 6 bulan yang syarikat penerbangan ada di bawah Montreal Convention kerana peruntukan undang-undang yang ada memerlukan tindakan mahkamah dimulakan dalam tempoh 3 bulan.
Tindakan boleh ditarik balik selepas menerima pembayaran ataupun selepas sama-sama bersetuju untuk memasukkan satu Penghakiman Persetujuan (Consent Judgment) ke mahkamah iaitu segala terma dan syarat jumlah besar pembayaran serta bila perlu dibayar dipersetujui kedua-dua pihak. - 25 Mac, 2014.
Dr Syed Iskandar Syed Jaafar :
adalah peguambela dan peguamcara yang juga terlibat dalam timbangtara.

Tiada ulasan: