SPECIAL ADS

7 Mac 2014

Pakatan ikrar demonstrasi ‘Reformasi 2.0’ bantah hukuman kes liwat Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim meninggalkan Mahkamah Rayuan semalam. Pemimpin PKR pagi ini akan membuat keputusan tentang 'Reformasi 2.0' sebagai bantahan kepada hukuman kes liwat terhadap Anwar, dan berikrar untuk mengadakan demonstrasi jalanan.  – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abdul Halim, 8 Mac, 2014.
08 Mac : Pemimpin Pakatan Rakyat (PR) berikrar akan menganjurkan demonstrasi jalanan bagi membantah keputusan Mahkamah Rayuan mensabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalah di hadapan ribuan penyokong mereka yang membanjiri Kajang malam tadi.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pelan rekonsiliasi nasional PR dan Barisan Nasional (BN) bersama tidak akan dilaksanakan selagi Anwar masih lagi disabitkan dengan kesalahan liwat, kali kedua dalam tempoh 15 tahun.
Sementara itu, Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali membayangkan akan berlakunya "Reformasi 2.0" sebagai bantahan ke atas keputusan mahkamah di mana Anwar yang merupakan calon PR bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang berkemungkinan berdepan dengan hukuman penjara lima tahun.
"Ini adalah reaksi kami. Anda tidak boleh berharap kami terus berdiam diri, kerana kita akan lawan.
"Perbuatan yang jahat, korupsi tidak boleh dilawan melalui sistem pilihan raya, ia hanya boleh dilakukan dengan demonstrasi," katanya di hadapan kira-kira 1,000 penyokong di Sungai Sekamat Kajang malam tadi.
Katanya keputusan mengenai protes tersebut akan dilakukan semasa mesyuarat pimpinan PKR pagi ini.
Empat hari sebelum Hari Penamaan Calon PRK Kajang, Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman lima tahun penjara kepada Anwar kerana didapati bersalah meliwat pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.
Bagaimanapun, Hakim Datuk Balia Yusof Wahi yang mengetuai panel tiga hakim dalam kes itu menerima permohonan Anwar untuk penangguhan hukuman sementara menunggu rayuan dengan jaminan RM10,000.
Bagi menjayakan demonstrasi Reformasi 2.0, Azmin berkata PKR memerlukan penglibatan orang ramai.
Azmin merupakan antara yang menganjurkan demonstrasi jalanan pada 1998 pada ketika Anwar dipenjara kali pertama atas tuduhan liwat dan salah guna kuasa.
"Apa patut kita buat? Kita patut lawan.. hendak turun jalan raya? Orang yang zalim, yang rasuah, perompak penjenayah, tidak boleh dijatuhkan melalui pilihan raya.

"Ianya hanya boleh dijatuhkan dengan demonstrasi jalan raya," katanya.
Azmin juga turut mempersoalkan tentang keraguan yang terlalu banyak timbul dengan cara mahkamah menangani kes tersebut. 
"Peguam Karpal Singh berkata pertama kali berlaku sesi prosiding dalam mahkamah mengambil masa selama empat jam," katanya.

Azmin yang juga merupakan ahli Parlimen Bukit Antarabangsa berkata tidak akan sesekali membenarkan Anwar untuk berada dalam penjara lagi.
Anwar pernah dijatuhkan hukuman selama enam tahun dalam kes liwat pertama dan kemudiannya dibebaskan pada 2004 selepas Tun Abdullah Badawi mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dalam sidang media selepas itu, Azmin menegaskan keputusan hukuman Anwar tidak akan menjatuhkan semangat ahli PKR.
"Kali ini kita berharap protes itu akan menghantar satu lagi gelombang baru untuk menuntut keadilan dan kebenaran.
"Kami masih belum membuat keputusan bagaimana ia akan dilakukan," katanya.
Ahli Parlimen Shah Alam daripada PAS, Khalid Samad dan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib turut hadir memberikan sokongan malam tadi.
Khalid yang juga merupakan menteri besar Selangor menyifatkan hukuman yang dijatuhkan kepada Anwar sebagai detik hitam dalam sistem perundangan negara.
"Sebaik sahaja hukuman dijatuhkan, semangat rekonsiliasi nasional yang dicanangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terhapus dan tenggelam dalam hipokrasi," katanya. TMI

Tiada ulasan: