SPECIAL ADS

22 Mac 2014

PKR berkempen hingga saat akhir pastikan Dr Wan Azizah menang majoriti besar

Siapa di antara dua calon wanita, Datin Paduka Chew Mei Fun (kiri) dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang akan menang menjadi Adun Kajang akan diketahui malam ini. Gambar fail The Malaysian Insider.
22 Mac : Pada saat-saat terakhir kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, pemimpin Pakatan Rakyat (PR) menyeru pengundi keluar mengundi bagi memastikan mereka memperolehi jumlah majoriti lebih besar.
Sebelum ini pelbagai analisis mengatakan calon PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkemungkinan menang dengan majoriti rendah kerana tidak berjaya menembusi pengundi Melayu.
"Esok keluar pagi-pagi, kita mengundi. Kalau tidak nanti hantu yang undi," kata Dr Wan Azizah dalam kempen terakhirnya di Kajang malam tadi.
"Buka mata, buka hati ... esok undi saya,” katanya.
Selain Dr Wan Azizah, pemimpin dari PAS, dan PKR seperti Dr Hatta Ramli dan Nurul Izzah Anwar turut menyeru agar pengundi di Kajang memastikan mereka memilih Dr Wan Azizah dan memastikan kemenangan beliau.
"Esok hari cukup penting bukan sahaja orang Kajang, tapi seluruh Malaysia," kata Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.
"Dengan ada kerajaan yang kuat kita boleh tuntut mereka (BN) jumpa balik rakyat.
"Kita kena bagi undi dan majoriti paling besar kepada Kak Wan. Jangan ada provokasi, kalau ada benda tidak betul laporkan kepada petugas PR," kata pengarah strategi PKR itu, merujuk kepada Dr Wan Azizah.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ceramahnya berkata, Dr Wan Azizah bukan calon yang sembarangan memandangkan beliau mempunyai keteguhan prinsip yang kukuh.
"Ajar Umno ... takdirkan saya menang, 30 kawasan kita menang, undi pos semua tipu, mustahil 80% hingga 90% sokong BN.
"Calon kita Dr Wan Azizah, calon mereka Chew Mei Fun.
"Warak dia (Dr Wan Azizah), lebih warak daripada saya. Derita dia, jaga anak-anak, tiada orang yang tidak tahu buruknya Anwar.
"Tapi ini perempuan nampaknya lembut tapi jiwanya tegas pertahankan keadilan," kata Anwar di hadapan sekitar 500 penyokong PR dalam ceramah tersebut.
Dr Wan Azizah akan melawan calon Barisan Nasional (BN), Datin Paduka Chew Mei Fun satu lawan satu selepas calon-calon bebas yang sebelum ini mengumumkan untuk bertanding tidak menghantar borang pencalonan mereka.
Hari ini pengundi DUN Kajang akan memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) selepas penyandangnya, Lee Chin Cheh melepaskan jawatannya pada akhir Januari.
Suruhanjaya Pilihan Raya sebelum ini berkata keputusan PRK Kajang dijangka akan diketahui selewat-lewatnya pada 9.00 malam ini. TMI

Tiada ulasan: