SPECIAL ADS

1 Mac 2014

Umno usah bergantung kepada Papa Gomo dan kempen kotor

Azmin menganggap kemenangan saman Anwar terhadap Papa Gomo sebagai isyarat jelas kepada Umno untuk berhenti menggunakan taktik kotor bagi menjatuhkan lawan. - Gambar The Malaysian Insider, 1 Mac, 2014.
01 Mac : PKR hari ini mendesak Umno supaya tidak lagi bergantung kepada Mohammad Azri Wan Deris, atau juga dikenali sebagai Papa Gomo, setelah blogger pro-Umno itu didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi.
Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali berkata, Umno dan Barisan Nasional (BN) bukan sahaja perlu berhenti menggunakan khidmat blogger itu tetapi juga perlu menyuburkan politik matang dan rasional selain menghentikan segala bentuk politik kotor.
Azmin berkata demikian sebagai mengulas penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang mengarahkan Azri membayar RM800,000 kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai ganti rugi memfitnahnya, di samping RM50,000 sebagai kos.
"Kami mengalu-alukan penghakiman semalam sebagai satu isyarat jelas terutamanya kepada Umno dan BN yang selalu menggunakan taktik kotor dan tidak bermoral untuk menjatuhkan pihak lawan.
"Ini dapat dilihat baru-baru ini apabila Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan mengancam menggunakan 'kempen seks' terhadap calon PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam penghakimannya, Hakim Rosilah Yop turut mengatakan Azri adalah pemilik blog Papa Gomo.
Azri sebelum ini memberitahu mahkamah beliau bukanlah pemilik blog Papa Gomo.
Rosilah membenarkan permohonan injunksi tetap oleh Anwar untuk menghalang Azri mengulangi fitnahnya di blog tersebut.
Pada 21 Mac tahun lalu, Anwar memfailkan saman sebanyak RM100 juta terhadap Azri kerana memuat naik empat siri tulisan yang memfitnahnya pada 16, 17, 19 dan 20 Mac.
Menurut penyataan tuntutan itu, defenden meletakkan beberapa pautan web yang memaparkan satu siri imej dengan mengatakan lelaki itu adalah Anwar.
Peguam Anwar, N Surendran berkata, ganti rugi tersebut adalah yang terbesar pernah dimenangi Anwar.
"Keputusan ini adalah isyarat jelas seseorang perlu membayar selepas mencemarkan maruah individu lain," katanya.
"Keputusan ini juga membuktikan Anwar bukanlah orang dalam video itu," kata Surendran. TMI

Tiada ulasan: