SPECIAL ADS

20 Mac 2014

Putrajaya janji hormati perjanjian air dengan Selangor

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili semasa ucapannya untuk Asia Water 2014 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. Beliau memberi jaminan Putrajaya akan menghormati Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan kerajaan negeri Selangor selepas dituduh Pakatan Rakyat (PR) mengkhianati perjanjian tersebut. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 20 Mac, 2014.
20 Mac :Datuk Seri Dr Maximus Ongkili (gambar) memberi jaminan Putrajaya akan menghormati Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan kerajaan negeri Selangor selepas dituduh Pakatan Rakyat (PR) mengkhianati perjanjian tersebut.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air itu berkata akan memastikan syarikat konsesi air tersebut diambil-alih selepas tawaran awal bernilai RM9.65 bilion ditolak.
"MoU itu kukuh dan kami akan hormati kandungannya... Saya akan pastikan ia dilaksanakan," kata Maximus dalam sidang media selepas merasmikan Pameran ASIAWATER 2014 di Kuala Lumpur.
Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid semalam mendesak kerajaan pusat supaya menggunakan Seksyen 114 Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) 2006 bagi mengambil alih tiga lagi syarikat konsesi air selepas tawaran kerajaan negeri ditolak.
Maximus bagaimanapun berkata untuk menggunakan akta tersebut, beberapa prosedur perlu dipatuhi terlebih dahulu.
"Itu janji saya, tapi kamu tidak boleh tergesa-gesa sehinggalah proses undang-undang dipatuhi terlebih dahulu," kata beliau.
Maximus berkata sebelum Seksyen 114 dilaksanakan, ia terlebih dahulu perlu diwartakan oleh Peguam Negara selepas dibentangkan kepada Kabinet.
"Ia (Seksyen 114) perlu diwartakan terlebih dahulu oleh Peguam Negara," kata beliau.
Mengenai air, Maximus berkata Rabu depan Jawatankuasa Parlimen yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan duduk berbincang dan akan dibentangkan ke Kabinet pada Jumaat.
Kerajaan negeri Selangor menandatangani MoU dengan KeTTHA berhubung pemilikan konsesi air di Selangor pada Februari lalu.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menyaksikan upacara menandatangani MoU berkenaan antara Khalid dan Maximus di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.
Khalid menandatangani MoU berkenaan bagi membolehkan kerajaan negeri mengambil alih empat syarikat konsesi air dengan suntikan dana RM2 bilion oleh kerajaan pusat bagi pengambilalihan saham syarikat konsesi.
Antara isi kandungan perjanjian tersebut termasuklah kerajaan negeri yang dipimpin PR akan membenarkan Putrajaya meneruskan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2.
Selangor melalui syarikat berkaitan kerajaan miliknya, Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) menawarkan RM9.65 bilion kepada pemegang saham syarikat tersebut.
MoU itu membolehkan Selangor mengambil alih pegangan konsesi air daripada Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB),  Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash) dan Konsortium Abbas Sdn Bhd (Abbas).
Bagaimanapun, tiga syarikat konsesi iaitu Syabas, Puncak Niaga dan Splash menolak tawaran berkenaan. Hanya Abbas menjadi konsesi tunggal yang menerima tawaran itu.
Isnin lalu, tiga ahli Parlimen PR menuduh Putrajaya mengkhianati MoU air yang dibuat dengan kerajaan negeri Selangor kerana enggan menggunakan WSIA untuk menyelesaikan pertikaian isu pengurusan air di negeri terkaya itu.
Pemimpin PR, Rafizi Ramli, Tony Pua dan Dr Dzulkefly Ahmad dalam satu kenyataan bersama berkata, WSIA perlu digunakan untuk mengambil alih syarikat konsesi air di Selangor.
"Ini adalah pengkhianatan ke atas perjanjian yang dibuat dengan kerajaan negeri," kata mereka dalam satu kenyataan.TMI

Tiada ulasan: