SPECIAL ADS

16 Disember 2013

ANAK gesa SKM siasat mesyuarat khas KPF

16 Dis : Persatuan Anak-anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) hari ini mendesak Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyiasat perjalanan Mesyuarat Agung Khas yang dijalankan Koperasi Permodalan Malaysia Berhad (KPF) pada 27 Oktober lalu.

Presiden Anak, Mazlan Aliman berkata mesyuarat khas itu diadakan bertujuan cadangan penjualan 51 peratus ekuiti milik KPF dalam Felda Holdings Berhad (FHB) dan Felda Global Venture Holdings (FGVH).

Bagaimanapun, Mazlan mendakwa kebanyakan perwakilan yang menghadiri mesyuarat tersebut tidak dibekalkan dengan dokumen yang sepatutnya diserahkan awal yang menyebabkan para perwakilan tidak mendapat gambaran awal berhubung cadangan penjualan ekuiti tersebut.

Mazlan berkata demikian selepas menyerahkan memorandum kepada Pengarah Bahagian Unit Kawal Selia Koperasi, SKM, Mat Deris Jusoh, di pejabat SKM, petang ini.

Sebelum itu, beliau turut mengadakan perbincangan dengan wakil SKM selama kira-kira setengah jam.

Mengulas lanjut berhubung mesyuarat khas tersebut, Mazlan turut menuntut agar SKM turut melihat bagaimana penentuan nilaian RM2.2 bilion dipersetujui sedangkan laporan penganalisis hasil kajian awal KPF membuktikan perkara sebaliknya.

"Tiga firma penyelidikan yang dilantik KPF itu sendiri iaitu CIMB meletakkan penilaian 51 peratus ekuiti dalam FHB yang dipegang KPF ialah RM2, 860 juta, manakala TA Securities(RM4081 juta) dan Kenangan Research sebanyak RM3207 juta).

"Jadi bagaimana nilaian RM2.2 bilion itu dipersetujui, lebih-lebih lagi difahamkan Pengerusi KPF, Datuk Faizoull Ahmad merupakan ahli lembaga Pengarah FHB dan FGVH, yang mempunyai 'conflik of interest' dalam isu ini," kata beliau.

Difahamkan, KPF telah menjual keseluruhan 112,119,999 unit saham bersamaan 51 peratus modal berbayar dan diterbitkan FHB kepada FGVH pada nilai blsan RM2.2 bilion tupun RM19.61 sesaham secara tunai.

Sehingga 2012, KPF mempunyai keahlian seramai 207, 913 dengan modal syer anggota sebanyak RM1.46 bilion dan 87.81 peratus keahlian datangnya daripada anggota kumpulan peneroka.

Mazlan turut mempersoalkan mengapa kaedah pengundian dibuat secara terbuka dan tidak dilakukan secara undi sulit.

Perkara tersebut turut diakui Mat Deris yang turut berada pada mesyuarat khas tersebut sebagai pemerhati, bagaimanapun beliau tidak mahu mencampuri urusan perjalanan mesyuarat pada ketika itu.

Mazlan turut melahirkan kebimbangan tentang tiada jaminan dari kerajaan berkaitan masa depan KPF untuk membayar dividen kepada pemegang saham yang puratanya 15 peratus sebagaimana tahun-tahun sebelum ini.

"Justeru, SKM sebagai sebuah badan pelindung kepada kopersi-koperasi di Malaysia, termsuk KPF yang hampir 100 peratus pemegang sahamnya bumiputera perlu menyiasat perkara ini serta memberi penjelasan terhadap isu yang dibangkitkan Anak," tegas Mazlan.

Sementara itu, SKM dalam responsnya berkata pihaknya akan menyiasat perkara yang dibangkitkan Anak sebelum memaklumkan hasil siasatan tersebut kepada Anak.

SKM turut meminta beberapa dokumen yang berkaitan bagi membantu siasatan, bagaimanapun Mazlan menolaknya dengan alasan kebanyakan dokumen tersebut diwartakan sebagai Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan hanya akan menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam pada itu, Mazlan menegaskan penyerahan memorandum ini merupakan langkah pertama Anak, sebelum diikuti dengan laporan polis dan penyerahan dokumen serta bukti berkaitan kepada SPRM. HD

Tiada ulasan: