SPECIAL ADS

24 Disember 2013

UMCEDEL: BN perlu tangani kenaikan kos sara hidup jika mahu menang PRU14

Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman membentangkan hasil kaji selidik UMCEDEL mengenai respon rakyat terhadap kenaikan harga barang dan perkhidmatan. - Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 24 Disember, 2013.
24 Dis : Kenaikan harga barangan keperluan harian seperti tarif elektrik dan harga minyak memberi kesan kepada kehidupan rakyat Malaysia secara keseluruhannya dan Barisan Nasional (BN) perlu menagani isu itu jika mahu terus berkuasa selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti, kata kajian Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), hari ini.
Pengarah UMCEDEL, Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman, berkata tiga isu itu seharusnya ditangani kerajaan dengan sewajarnya kerana ia juga boleh menjejaskan sokongan kepada kerajaan BN.
Hasil daripada kajian UMCEDEL terhadap 1,676 responden di Semenanjung Malaysia yang dijalankan pada 6 hingga 8 Disember lalu mendapati 42% responden beranggapan kenaikan harga minyak memberikan kesan kepada kehidupan mereka diikuti 34% kenaikan harga barang, dan kenaikan kadar tarif elektrik sebanyak 24%.
"Ini perlu ditangani dengan segera kerana ia melibatkan kehidupan rakyat," katanya.
Mohammad Redzuan berkata, pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) juga tidak lagi mampu menjadi "pelampung penyelamat" buat BN untuk PRU14 memandangkan impak bantuan one-off kewangan berkenaan tidak lagi dirasai rakyat.
"Seramai 52% tidak bersetuju BR1M akan meningkatkan sokongan kepada BN kerana mampu mengurangkan kos sara hidup, manakala 42% sahaja bersetuju," katanya ketika membentangkan dapatan kajian berkenaan di Universiti Malaya, di Kuala Lumpur hari ini.
Sementara itu, pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pula menyaksikan 61% responden tidak bersetuju, dengan hanya 20% sahaja yang bersetuju.
"Pengundi Cina lebih tinggi peratusan penolakan dengan 67%, kerana sebahagian besar mereka merasakan akan berlaku kenaikan harga barang jika cukai itu dilaksanakan.
"Manakala pengundi Melayu yang menolak GST pula pada kadar 61%. Ini persepsi rakyat berhubung pelaksanaan cukai ini," katanya.
Kajian ke-17 institut berkenaan yang dinamakan "Kajian Politik Enam Bulan Selepas Pilihan Raya Umum ke-13" itu turut mendapati, majoriti responden yang ditemui menolak andaian Bajet 2014 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 25 Oktober lalu juga gagal menangani peningkatan kos sara hidup.
Sejumlah 53% responden beranggapan bajet dengan tema “Memperteguh Ketahanan Ekonomi, Memperkasa Transformasi dan Melaksana Janji” itu tidak mampu mengurangkan kos sara hidup mereka dengan hanya 29% berpendapat sebaliknya dan 16% tidak pasti akan perkara itu.
"Daripada jumlah itu, pengundi Cina mempunyai jumlah tertinggi iaitu sebanyak 64%, manakala responden Melayu menunjukkan kadar sebanyak 52%," katanya. TMI

Tiada ulasan: