SPECIAL ADS

20 Disember 2013

Sidang parlimen tergempar bincang kepincangan Najib


20 Dis : Pentadbiran Datuk Seri Najib Razak terus mengumumkan angka-angka untuk meyakinkan orang ramai dan institusi kewangan bahawa beliau serius untuk mengekang tahap keberhutangan negara. 

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, sasaran yang diletakkan ialah untuk menurunkan defisit ke paras 4% dari jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Untuk menurunkan defisit, PKR telah berkali-kali menegaskan bahawa bahawa reformasi ekonomi yang menyeluruh perlu dibuat, bermula dengan mengekang rasuah dan keborosan,” ujarnya dalam satu kenyataan. 

Ini, katanya akan mengurangkan belanja yang ditanggung rakyat setiap tahun kerana pendapatan yang diperolehi negara adalah mencukupi. 

Malah, kata bliau dengan penjimatan dalam perbelanjaan kerajaan, PKR yakin sasaran defisit yang lebih rendah iaitu 3.5% boleh dicapai seperti yang diunjurkan di dalam Belanjawan Pakatan Rakyat.

Katanya lagi, keengganan Najib memotong perbelanjaan boros kerajaannya menyebabkan beliau mencari jalan yang menekan rakyat. 

Tambahnya, kenaikan harga barang, pengurangan subsidi, kenaikan tarif dan yang terkini kenaikan tol adalah berpunca dari kegilaan Najib mahu mencapai sasaran defisit tetapi tidak mahu membanteras rasuah.

“Lebih memeranjatkan, Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan akan mengambil jalan menjual aset negara dan menerbitkan lebih banyak sekuriti hutang dari aset-aset negara semata-mata untuk menutup kegagalan pentadbiran ekonomi beliau mencapai sasaran defisit yang beliau sendiri tetapkan,” ujarnya.

Rafizi turut memetik laporan terkini dari Bank Dunia iaitu “Malaysia Economic Monitor: December 2013” pada mukasurat 10 menyatakan seperti berikut: “… the government reaffirmed its headline deficit target for 2013 (4.0% of GDP vs 4.5% in 2012). This target will be achieved through additional tax revenues (Figure 13). Of the additional RM11.8 billion in revenues expected to be raised compared to budgeted estimates, RM7.4 billion originated from non-tax sources, including RM1.4 billion of proceeds from asset sales and RM4.2 billion from the securitization of government mortgages…

Ini, jelasnya adalah pendedahan yang cukup mengejutkan kerana pentadbiran Najib sudah sampai ke peringkat menjual aset negara dan mencagarkan harta-harta negara (melalui securitization of government mortgages) untuk menampung keborosan dan pembaziran kerajaannya.

“Saya syak rancangan menjual aset negara ini telah pun berlaku kerana ia bertujuan mencapai sasaran defisit 4% bagi 2013 yang sebenarnya telah gagal,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pandan. 

Beliau berkata, ini bermakna, harta-harta negara ini telah pun dijual dan digadai supaya hasilnya itu diperolehi dalam tahun 2013 untuk menutup jurang pendapatan dan perbelanjaan negara.

Beliau memandang serius perkara ini dan akan menggesa satu sidang Parlimen tergempar dipanggil secepat mungkin untuk membincangkan kepincangan pentadbiran ekonomi Najib yang meliputi isu-isu kenaikan harga barang mendadak dan tindakan menjual dan mencagarkan aset negara seperti yang didedahkan di dalam laporan Bank Dunia.

“Perkara ini akan saya bawa dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan malam ini supaya permohonan sidang tergempar Parlimen boleh dibuat secepat mungkin,” ujarnya lagi. HD

Tiada ulasan: