SPECIAL ADS

17 Disember 2013

Isu Syiah : Peguam Mohd Sabu beri tempoh 3 hari kepada Zahid

17 Dis : Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu hari ini menyerahkan kepada panel peguam PAS untuk mengambil tindakan mahkamah ke atas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung dakwaan Syiah.

Beliau berkata, barisan peguam akan memfailkan saman ke atas Zahid sahaja yang juga Naib Presiden Umno, kerana pencetus fitnah ke atas dirinya.

"Saya hari ini menyerahkan kepada panel peguam untuk mengambil tindahan ke atas Zahid berhubung ucapan beliau pada Perhimpunan Agung Umno yang mengaitkan saya sebagai pemimpin Syiah.

"Peguam hanya akan bertindak ke atas Zahid sahaja kerana beliau merupakan pencetus fitnah tersebut, yang bagi saya didasari niat jahat untuk menjatuhkan maruah dan integriti saya," jelas beliau pada sidang media di Pejabat Agung PAS sebentar tadi. (Gambar atas)

Beliau mengambil keputusan untuk tidak akan memberi sebarang kenyataan berhubung dakwaan Syiah sehinggalah perkara tersebut dibawa ke mahkamah.

Mohamad juga meminta agar panel peguam meneliti ucapan Zahid pada perhimpunan tersebut yang mana wujud penyalahgunaan kuasa sebagai Menteri Dalam Negeri.

"Beliau dalam ucapanya menyatakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memberi kuasa kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mengambil tindakan ke atas saya.

"Saya yakin ini satu bentuk penyalahgunaan kuasa kerana semua tahu Jakim bukan terletak di bawah bidang kuasa KDN, maka atas dasar apakan KDN boleh dengan secara arbitrari memberi kuasa kepada Jakim untuk bertindak," katanya.

Beliau juga akan membuat satu laporan polis terhadap Zahid atas kenyataan  yang tidak bertanggungjawab dan berharap pihak polis dapat menjalankan tanggungjawab seadil yang mungkin.

Sementara itu, Peguam Mohamed Hanipa Maidin memberitahu pihaknya akan menghantar notis kepada Zahid seberapa segara untuk menarik balik dan memohon maaf dalam masa tiga hari.

Katanya, notis tersebut hanya ditujukan kepada Zahid dan tidak melibatkan KDN.

"Notis kita hanya tertumpu kepada Zahid saja bukan melibatkan KDN, sebab bagi kita Zahid merupakan pencetus kepada fitnah tersebut," jelasnya yang juga Ahli Parlimen Sepang.

Beliau tidak mengulas tentang bukti yang dikemukakan oleh KDN dan berharap jika Zahid mahu membuktikannya perlu dibawa ke mahkamah.

"Zahid telah memfitnah dan kita harap beliau dapat buktikan apa yang beliau katakan Mat Sabu sebagai pemimpin Syiah, tunjukkan bukti, Syiah itu mengancam keselamatan negara, sila buktikan apa yang telah berlaku dan Mat Sabu sesat, kita juga mahu bukti.

"Kalau ada kenyataan mengatakan bukti gred A atau B, biar mahkamah yang menentukan bukannya mereka yang membuat kenyataan.

"Kita tidak akan menyaman KDN tetapi kita ingin bertemu Zahid di mahkamah," tegas beliau.

Beliau berkata, Zahid sebagai menteri tidak boleh menggunakan kuasa untuk mengarahkan pihak tertentu kerana setiap siasatan dilakukan melalui laporan yang dibuat bukannya secara arahan terbuka dan fitnah.

Turut hadir pada sidang media tersebut adalah Peguam Nasar Khan Mirbas Khan dan Aminuddin Zulkifli. HK

Tiada ulasan: