SPECIAL ADS

11 Disember 2013

Jika Mat Sabu itu Syiah, Umno itu komunis, Rosmah itu Wahabi

11 Dis : Belum pun  36 jam berlalu selepas membuat tuduhan melulu di atas pentas perhimpunan agung Umno, Sabtu lalu, Naib Presiden Umno yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membuat pusingan U dengan mendakwa tidak pernah menyebut nama Mohamad Sabu ketika menggesa agar ‘orang nombor dua’ PAS itu dikenakan tindakan kerana mengamalkan fahaman Syiah.


“Saya tidak pernah sebut (nama) Mat Sabu, saya sebut 'nombor dua',” katanya ketika ditanya dalam satu sidang media berhubung tindakan yang akan dikenakan ke atas Mohamad yang juga Timbalan Presiden PAS.

Ketika diasak wartawan bahawa ‘orang nombor dua’ PAS itu ialah Mohamad Sabu, Ahmad Zahid yang baharu diwawancara sebuah stesen TV Indonesia ketika menziarahi kampung halamannya di Jawa, Indonesia bagaimanapun tidak menjawab soalan tersebut dan hanya ketawa.

Beliau juga berkata, pegawainya akan mengadakan satu lagi sidang media untuk mendedahkan bukti kononnya ‘orang nombor dua’ itu berfahaman Syiah.

Tambahnya, tindakan penahanan itu boleh dijalankan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pihak berkuasa agama negeri, kata Zahid cuba mengalihkan beban tuduhannya itu kepada agensi lain.



Ketika ditanya pemberita, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom pula berkata, agensi di bawah kementeriannya akan berbincang dengan KDN sebelum menyiasat pemimpin PAS yang didakwa terlibat dengan ajaran Syiah.

Menurut Jamil Khir, pihaknya perlu mendapatkan dan meneliti bukti sebelum memulakan penyiasatan dan mengambil tindakan undang-undang Syariah.

“Kita jumpa KDN dulu, dapatkan semua maklumat. Nak buat tuduhan perlu bukti,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Bulan Zakat Kebangsaan dan Ijtimak Amil Zakat Kebangsaan 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Selasa lalu.


Dolak dalih Zahid ini berpunca daripada kenyataan Mohamad yang ingin membawa menteri BN itu ke mahkamah kerana menuduh beliau secara terbuka di pentas Umno sebagai penganut mazhab Syiah. Mohamad menafikan dakwaan rambang Zahid itu dan menegaskan bahawa beliau berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Walau apa pun dolak dalih Zahid, sebilangan penyokong fanatik Umno berkeyakinan teguh bahawa dakwaan beliau terhadap Mohamad disandarkan bukti kukuh.

Malah ada di kalangan mereka mahukan polis dan Jakim segera menyiasat dakwaan Zahid berhubung pembabitan pemimpin tertinggi PAS dalam gerakan Syiah.

Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM) yang terkenal dengan senaman punggung dan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi,  berhubung perkara tersebut.
Presiden PVTM yang juga pelopor senaman punggung, Mohd. Ali Baharom berharap pihak-pihak berkuasa mengambil tanggungjawab untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan tersebut.

"Perkara ini serius dan perlu siasatan segera kerana kami bimbang ajaran sesat ini akan terus berleluasa memesongkan akidah umat Islam di negara ini sekali gus mengancam keselamatan dan keharmonian masyarakat.
"Kami percaya Ahmad Zahid selaku Menteri Dalam Negeri membuat dakwaan tersebut berasaskan risikan serta maklumat yang diperoleh pihaknya, jadi adalah penting siasatan terperinci dilakukan demi kesucian agama Islam di negara ini," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis itu.
Mohd. Ali juga berharap Zahid berani mengambil tindakan dan bertanggungjawab atas dakwaan yang dilakukan.

Presiden MJMM, Abdul Rani Kulup Abdullah dilaporkan Utusan Online mempercayai bulat-bulat dakwaan Zahid. Menurutnya, dakwaan Zahid tidak akan timbul sekiranya tanpa bukti dan beliau percaya Menteri Dalam Negeri mempunyai asas sebelum membuat sebarang dakwaan.

Begitulah yakinnya pemimpin NGO pro-Umno terhadap Zahid seperti mana keyakinan mereka bahawa kononnya hanya Umno sahaja yang mampu membela nasib Melayu.


Menjawab dakwaan Zahid, Mohamad tidak gentar dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri itu yang mahu mendedahkan bukti secara terperinci mengenai pemimpin PAS yang terlibat dalam fahaman Syiah.

Mohamad mengakui sudah biasa dengan tuduhan seumpama itu termasuk ketika pemilihan PAS baru-baru ini.

“Umur saya sudah 59, kalau terpaksa habiskan sisa-sisa hidup saya naik turun mahkamah dan masuk penjara, saya akan hadapi,” katanya dipetik The Malaysian Insider.


Nampaknya Zahid tidak punyai pilihan selain membuktikan tuduhannya itu. Beban bukti dakwaan kini terpikul di bahu Zahid dan para pegawai KDN nampaknya terpaksa bekerja lebih masa untuk mengumpulkan bukti bagi menyelamatkan ‘air muka’ Zahid.

Di saat Mohamad dan masyarakat umum ternanti-nanti bahan bukti yang ingin dipersembahkan Zahid, suka diingatkan agar Zahid tidak secara mudah menganggap Mohamad sebagai bermazhab Syiah semata-mata bersandarkan ucapan Mohamad dalam ceramah-ceramah umum beliau sebelum ini.

Mohamad memang dikenali umum sebagai pengkagum revolusi Islam Iran – revolusi rakyat yang berjaya menumbangkan regim Shah Iran dokongan Amerika Syarikat. Bagaimanapun kekaguman Mohamad terhadap Iran tidak boleh dijadikan hujah untuk mengaitkan beliau dengan Syiah seperti mana kita tidak boleh menuduh Dr Mahathir Mohamad sebagai penganut Shinto semata-mata kerana kekaguman beliau dengan nilai-nilai masyarakat Jepun.

Apa juga kurangnya dengan Umno yang kini punyai hubungan rapat dengan Parti Komunis China (PKC)? Wakil PKC dan wakil parti-parti komunis Vietnam dan Cuba pernah menghadiri perhimpunan agung Umno. Paling akhir delegasi PKC mengunjungi Perdana Menteri yang juga Presiden Umno di bangunan Parlimen November lalu.

Malah hubungan erat Umno-PKC itu diwar-warkan dalam Umno Online dan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor begitu berbangga dengan kerjasama erat dua parti itu  dalam aspek perkaderan anggota.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor pula diketahui umum mempunyai hubungan baik dengan isteri kerabat Diraja Arab Saudi dan beberapa negara Arab.

Ketika memberikan ucapan penggulungan dalam Perhimpunan Agung Umno 2013 lalu, Najib memberikan dua contoh hubungan akrab Rosmah dengan isteri bekas diktator Mesir Hosni Mubarak, Suzanne Mubarak dan kerabat Diraja Saudi yang sering dikaitkan dengan fahaman Wahabi. Rosmah juga dibenarkan kabinet menggunakan jet eksekutif kerajaan untuk berkunjung ke sebuah negara Timur Tengah dan bertemu isteri pemimpin negara tersebut yang juga berfahaman Wahabiah.

Kesimpulannya jika hubungan dan kekaguman Mohamad dengan Iran boleh dijadikan alasan mendakwa beliau sebagai Syiah, apa halangan untuk kita mendakwa Umno itu komunis dan Rosmah itu Wahabi?  HD

Oleh Ahmad Tajdid

Tiada ulasan: