SPECIAL ADS

19 Disember 2013

Felda ceburi bidang perniagaan tanpa pindaan ordinan

19 Dis : Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu tiada sebarang pindaan dibuat terhadap Ordinan Pembangunan Tanah 1956 bagi membolehkan Lembaga Pembangunan Tanah Persekutuan (Felda) menceburkan diri dalam perniagaan, kata Pengarah Besarnya, Datuk Faizoull Ahmad.

Ketika memberikan keterangan, beliau berkata Felda bagaimanapun perlu berubah (daripada objektif penubuhannya) seiring dengan transformasi negara.

Sehubungan itu ujarnya, objektif penubuhan asal Felda iaitu "untuk membasmi kemiskinan dengan memberikan tanah kepada rakyat miskin"  telah berubah kepada "menjadi rumah kuasa ekonomi (economic power house) yang berupaya menghasilkan pendapatan sampingan kepada peneroka".

Faizoull menjawab soalan peguam defendan, William Leong pada sesi soal balas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.

Bekas Timbalan Pengarah Besar Pembangunan Komuniti Felda itu menjadi saksi utama saman fitnah Felda terhadap Mazlan Aliman dan enam yang lain ekoran berita yang tersiar dalam Harakah dan Suara KeADILan yang mengkritik urusniaga minyak kelapa sawit Felda dengan Israel.

Faizoull dilantik Pengarah Besar Felda pada 2 Ogos 2012.

Beliau menjelaskan, sebelum dilantik Pengarah Besar, beliau tidak terlibat dalam urusan perniagaan Felda dan hanya "menjaga urusan Felda dengan peneroka".

Selain Mazlan yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, turut dinamakan dalam writ saman Felda ialah Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman, Pengarang Harakah, Taufek Yahya, wartawan Mohd Arif Atan, syarikat pencetak Harakah, Angkatan Edaran Ent. Sdn. Bhd. dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Defendan diwakili Mohamed Hanipa, William Leong, Nasar Khan Mirbas Khan dan Azhana Mohd Khairuddin manakala kumpulan peguam plaintif diketuai Datuk Mohd Hafarizam Harun.

Kes didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Yang Arif Lee Hen Chong.

Menjawab soalan William Leong, Faizoull mengakui tidak mengetahui wujud perdagangan antara Malaysia dan Israel sejak tahun 1996 seperti dinyatakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada 17 November 2011.

Ketika ditanya William Leong sama ada beliau mengetahui Biro Pusat Statistik Israel merekodkan pertumbuhan nilai perdagangan antara Malaysia-Israel dari 1995 hingga 2013, Faizoull sekali lagi menjawab tidak tahu.

William Leong kemudian menyerahkan dokumen berkaitan kepada mahkamah sebagai exhibit.

Perbicaraan yang sepatutnya disambung hari ini ditangguh ke satu masa yang ditetapkan kemudian ekoran peguam Mohd Hafarizam terlibat dalam perbicaraan petisyen pilihan raya umum.

Tiada ulasan: