SPECIAL ADS

15 Disember 2013

Kenaikan tol untungkan konsesi, bebankan rakyat

16 Dis : Putrajaya perlu memberi penjelasan kepada rakyat berhubung rasional kenaikan tol kerana usaha itu  hanya memberi keuntungan kepada syarikat konsesi dan tidak kepada pengguna, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, hari ini.
Syarikat konsesi boleh menaikkan kadar tol setiap tiga tahun namun Putrajaya menghalang kenaikan sebelum ini dengan membayar pampasan kepada syarikat konsesi menerusi perjanjian yang ditetapkan.
Lim berkata, syarikat konsesi tidak harus menaikkan kadar tol apabila kos pelaburan mereka berjaya dikutip.
"Sebagai contoh, jambatan Pulau Pinang mengenakan tol sebanyak RM7. Syarikat konsesi berjaya mengutip kos pelaburan RM600 juta.
"Syarikat tersebut hanya mengutip keuntungan bersih daripada bayaran tol ditolak dengan kos penyelenggaraan. Kami menentang kenaikan ini tetapi perjanjian ditandantangani dan rakyat perlu menerimanya.
"Perjanjian itu memberi faedah kepada tidak lebih 20 syarikat dan bukannya 28 juta rakyat Malaysia,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu di pejabatnya di George Town hari ini.
Lim berkata demikian ketika mengulas cadangan kenaikan tol yang akan berlaku pada tahun depan mengikut perjanjian di antara kerajaan persekutuan dan syarikat konsesi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, berkata pada Sabtu bahawa kenaikan itu tidak dapat dielakkan kerana termaktub dalam perjanjian.
Katanya, kadar tol sebenarnya perlu disemak pada 2011 seperti dalam perjanjian tetapi ia dikekalkan dan Putrajaya membayar pampasan RM400 juta kepada syarikat konsesi menggunakan duit pembayar cukai.
Lim mengkritik perjanjian itu dengan mendakwa ia tidak meletakkan kepentingan umum berikutan tidak dijalankan menerusi tender terbuka.
Kenaikan kadar tol menguntungkan syarikat konsesi semata-mata, kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guang Eng. Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain, 16 Disember, 2013.
"Saya fikir salah satu sebab kenaikan itu adalah Putrajaya tidak mengadakan tender terbuka. Syarikat konsesi dapat menetapkan harga tol mereka sendiri yang mungkin bukan kadar terbaik kepada rakyat.
"Inilah masalah dengan Putrajaya yang tidak mengamalkan integriti seperti tidak mengadakan tender terbuka, tidak menghalang kakitangan berurusan dengan saudara-mara dan tidak mengisytihar aset," katanya.
Lim berkata, selepas pilihan raya umum, harga petrol dinaikkan menyebabkan tambang sekolah juga dinaikkan.
Katanya, dengan pemotongan subsidi dan kenaikan tol, tidak sukar meramalkan apa yang akan dinaikkan selepas ini.
"Inilah sebabnya kerajaan persekutuan perlu menjelaskan kenaikan ini yang menafikan kepentingan umum," katanya. 

Tiada ulasan: